Sabtu, 1 Mei 2021

Ayob Khan dicadang terajui JSJ – Abdul Hamid Bador

Oleh Afiq Mohd. Shah

tembak mati empat

NAMA Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sememangnya meniti di bibir masyarakat sejak dilantik sebagai Ketua Polis Johor, tahun lalu.

Ketegasan Ayob Khan dalam membanteras jenayah dan kejujuran melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan telah membuatkan orang ramai memandang tinggi usaha yang dilakukannya.

Maka, tidak hairan apabila nama Ayob Khan disebut-sebut masyarakat bakal menggalas jawatan sebagai Ketua Polis Negara satu hari nanti.

Namun begitu, buat masa ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan nama Ayob Khan telah dicadangkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.

Pada masa sama, Abdul Hamid ketika ditanya mengenai pengganti Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mendedahkan nama tiga pengarah paling kanan yang sesuai mengisi jawatan tersebut.

Ketiga-tiga nama berkenaan, kata Abdul Hamid adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya; Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain.

“Mereka yang paling senior dan salah seorang akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara. Terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kebiasaannya ia ditentukan Perdana Menteri.

“Saya tahu ada yang mahu Ayob Khan dinaikkan pangkat tetapi kalau tak silap beliau akan mengambil alih JSJ.

“Itu yang kami cadangkan supaya beliau dapat meneruskan usahanya membendung jenayah di negara ini. Beliau memang contoh yang baik selama ini.

“Semua orang menyokongnya. Lagi-lagi cara beliau tebar roti canai,” seloroh Abdul Hamid dalam sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara hari ini.

Ketika ditanya mengenai sekiranya ada sesalan sepanjang beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara, Abdul Hamid menjelaskan tiada sesalan cuma kebimbangannya mengenai campur tangan politik dalam tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, beliau memohon maaf kerana tidak sempat ke Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan banyak isu di kedua-dua negeri terbabit ekoran penularan COVID-19.

“Saya tahu di Sarawak terdapat banyak isu integriti. Bukan saya terlepas pandang. Saya ada berjumpa dengan menteri-menteri Sarawak dan menyatakan pengakuan saya kepada mereka.

“Saya faham, tahu dan sedar sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak. Insya-Allah, Acryl Sani akan lakukan selepas ini. Sesuatu yang tidak betul berlaku di sana.

“Banyak sangat tuduhan yang tular berhubung kes penyeludupan, judi dalam talian dan maksiat yang begitu hebat. Saya harap selepas ini pucuk pimpinan akan beri perhatian. Bukan saya ‘anak tirikan’ Sabah dan Sarawak. Saya tak dapat pergi kerana COVID-19,” jelas beliau.

Tiada ulasan: