Khamis, 13 Mei 2021

Mohonlah kepada Allah hilangkan wabak Covid-19 – Zulkifli

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

JEMAAH menunaikan solat sunat Aidilfitri dipimpin imam Besar Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim dalam norma baharu di Masjid Putra, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Masyarakat Islam di negara ini khususnya diajak meraikan kegembiraan Aidilftiri yang merupakan kegembiraan khusus untuk umat Islam sungguhpun suasana sambutan kali ini agak berbeza seperti kebiasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun perlu meraikan dalam situasi norma baharu, kita tetap perlu mensyukuri nikmat itu dan menzahirkan kegembiraan.

“Sememangnya kita masih lagi diuji dengan wabak Covid-19 ini. Kepada Allah SWT jualah tempat kita memohon pertolongan agar Dia menghilangkan semua wabak ini dan mengangkat ujian yang kita hadapi ini.

“Sesungguhnya tiada daya dan upaya kita semua melainkan dengan kekuatan dan kekuasaan Allah SWT jua,” katanya ketika menyampaikan khutbah Aidilfitri di Surau As-Salam, Kg. Jiboi Baru, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli mengingatkan kepada seluruh umat Islam agar sama-sama menjaga batas-batas hukum yang ditetapkan Islam antaranya mendirikan solat, menutup aurat, saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.

Pada masa sama, kata beliau, saling membantu adalah amalan mulia lebih-lebih lagi jika ada dalam kalangan ahli keluarga atau adik-beradik kita yang diuji sama ada diuji dengan kemiskinan, penyakit dan lain-lain.

Sempena Aidilfitri ini, beliau mengajak untuk saling memaafkan antara satu sama lain kerana keluarga adalah ‘harta’ kita dan wajib menjaganya sebaik mungkin.

Katanya, sesungguhnya memaafkan orang lain itu merupakan suatu keizzahan (kemuliaan) buat seseorang mukmin lebih-lebih lagi antara sesama ahli keluarga kita.

“Seterusnya, saya ingin mengingatkan kepada semua untuk terus bersabar menghadapi situasi pandemik ini. UTUSAN

“Marilah sama-sama kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh, bermunajat dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar Dia mengampunkan segala dosa kita, dosa ahli keluarga, dan dosa seluruh umat Islam di dunia ini seterusnya melimpahkan rahmat dan berkat kepada kita semua serta menghilangkan wabak penyakit ini dengan segera,” katanya..UTUSAN

Tiada ulasan: