Khamis, 13 Mei 2021

Lelaki maut tong gas meletup

 Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LELAKI yang maut dalam letupan gas di sebuah bengkel di Pantai Remis semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM

BERUAS: Tindakan seorang lelaki mahu memindahkan gas yang digunakan untuk memasak membawa padah apabila tong berisi gas itu meletup dalam kejadian di Pantai Remis dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian di sebuah premis di Jalan Parit Amerikan, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, lelaki berusia 20-an itu maut di tempat kejadian akibat letupan tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya percaya letupan berlaku akibat proses pemindahan gas dari tong besar kepada tong lebih kecil di bengkel tersebut.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah malam dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis bergegas ke lokasi kejadian.

“Semasa kejadian, mangsa dipercayai berada seorang diri dalam bengkel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Jelasnya, pihak perubatan dan bomba menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, tindakan pasukan itu seterusnya melakukan kerja-kerja pemantauan dan menutup semua injap tabung dan tong gas yang terdapat di situ bagi memastikan tiada bahan merbahaya di situ.

Katanya, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.24 pagi selepas premis itu didapati selamat daripada bahan atau pelepasan gas merbahaya.

Katanya, operasi itu diketuai Mohd. Amir Hamid dan turut dihadiri Ketua Bomba Zon 3 Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah. UTUSAN

Tiada ulasan: