Selasa, 11 Mei 2021

Maaf mak, abah, ‘Spiderman’ tak dapat balik raya…Tak lepas rentas negeri

Seorang penunggang motosikal yang lengkap berkostum ‘Spiderman’ mencuri 
perhatian orang ramai di Kota Kinabalu, pagi tadi.

KOTA KINABALU: Gelagat seorang penunggang motosikal lengkap mengenakan kostum “Spiderman” mencuri perhatian pengguna jalan raya sekitar bandar raya ini, pagi tadi.

Selain memakai kostum adiwira itu, turut tertampal di bahagian belakangnya sekeping kertas tertulis “mak & abah…Sorry tak dapat balik raya…Tak lepas rentas negeri”.

Seorang pengguna jalan raya hanya mahu dikenali sebagai Theo Ivan, berkata kejadian pada 9.15 pagi apabila semua kereta dan motosikal berhenti di lampu isyarat berhampiran Wisma Kewangan, di sini.

“Kebanyakan pengguna jalan raya ketawa melihat gelagat ‘Spiderman’ itu dan turut tidak melepaskan peluang mengambil gambar terutama penunggang motosikal macam saya.

“Beberapa pengguna jalan raya turut melambai ke arah lelaki itu kerana dia berkostum (Spiderman) penuh termasuk topeng muka, kesian juga ‘Spiderman’ tidak dapat balik kampung beraya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan, dan pendidikan berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun, manakala larangan dan arahan lain berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) di Sabah masih kekal seperti sebelum ini, aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.

Tiada ulasan: