Rabu, 12 Mei 2021

Hanya 50 jemaah dibenar solat di masjid Negeri Sembilan

 fazleensafina

Termasuk pegawai, ahli jawatankuasa masjid atau surau

SEREMBAN –  Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan kehadiran jemaah di masjid dan surau Jumaat hanya 50 orang sahaja dibenarkan, termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau berkenaan bermula esok sehingga 7 Jun.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, prosedur operasi standard itu turut terpakai bagi aktiviti solat fardhu, solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri nanti manakala kapasiti jemaah di surau lain pula hanya 20 orang sahaja.

Katanya, jemaah yang dibenarkan hadir hanya berstatus warganegara dan penduduk tetap sahaja dan terdiri daripada lelaki berumur 15 tahun dan ke atas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Setiap jemaah wajib mengisi borang kehadiran yang direkodkan oleh jawatankuasa dan dikemukakan ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) setiap hari. Imam bertugas digalakkan membaca surah  pendek.

Manakala, khutbah akan disampaikan hendaklah berpandukan teks khutbah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, bagi amalan takbir raya dibenarkan di masjid, surau Jumaat atau surau lain bermula daripada waktu Maghrib, Isyak, Subuh dan sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, jawatankuasa hendaklah memastikan takbir dilaksanakan tidak berlanjutan sehingga lewat malam selain itu selepas solat sunat Aidilfitri, sebarang bentuk jamuan dan ziarah kubur tidak dibenarkan.

Sementara itu, katanya, bagi pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19, setiap kematian hendaklah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pengurusan jenazah perlu dilaksanakan di masjid atau surau yang akan diuruskan enam orang sahaja.

“Pengurusan jenazah di rumah adalah dilarang. Pengurusan jenazah di masjid atau surau terdiri daripada tiga petugas masjid atau surau dan tiga daripada waris si mati,” katanya.

Katanya, solat jenazah dibenarkan mengikut kapasiti solat dalam tempoh PKP ini iaitu 50 orang di masjid dan 20 orang di surau, manakala majlis tahlil dan talkin tidak dibenarkan. -Bernama

Tiada ulasan: