Selasa, 11 Mei 2021

Sri Ram pertahan lantikannya dalam kes rasuah Rosmah

Rosmah Mansor mendakwa, pelantikan Gopal Sri Ram terbatal kerana surat 
lantikannya hanya ditandatangani oleh Peguam Negara, Idrus Harun pada 
8 Julai tahun lalu, ketika perbicaraannya sudah berjalan.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram akan mempertahankan pelantikannya sebagai pendakwaraya ad-hoc.

Isteri bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya dan membatalkan prosiding.

Beliau mendakwa, pelantikan Sri Ram terbatal kerana surat lantikannya hanya ditandatangani oleh Peguam Negara Idrus Harun pada 8 Julai tahun lalu, ketika perbicaraannya sudah berjalan.

Rosmah sedang dibicarakan atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta daripada kontraktor (Saidi Abang Samsudin) bagi projek pembekalan solar sekolah di Sarawak, serta dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Saidi.

Wang itu didakwa bertujuan bagi menolong syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam, memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengenai pendirian pendakwaan ketika sebutan kes untuk kedua-dua permohonan Rosmah.

“Sri Ram akan datang ke mahkamah dan menjelaskannya pada 3 Jun kerana beliau mengatakan secara peribadi terkesan dengan permohonan itu,” kata Mustafa.

Sehubungan itu, peguam Rosmah Jagjit Singh berdiri dan membantah pihak pendakwaan dengan mengatakan bahawa Sri Ram tidak boleh menjelaskan pelantikannya.

“Ia sangat tidak sesuai,” katanya.

Sebagai reaksi balas, Mustafa memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan berpandukan oleh duluan yang ditetapkan dalam kes liwat 2 Anwar Ibrahim, di mana peguam Muhammad Shafee Abdullah datang untuk mempertahankan pelantikannya di mahkamah.

Peguambela Akberdin Abdul Kadir kemudian mengatakan bahawa masalah yang berkaitan dengan pelantikan Shafee dalam kes liwat 2 dan pelantikan Sri Ram dalam kes ini adalah berbeza.

“Fiat (kebenaran rasmi) beliau (Sri Ram) menghadapi tentangan,” tambahnya.

Bagaimanapun Zaini berkata, beliau tidak akan membuat perintah mengenai pertikaian pihak pembelaan mengenai kehadiran Sri Ram untuk membantah pelantikannya.

Beliau juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan permohonan mereka pada 28 Mei.

“Saya juga akan menasihati kedua-dua pihak untuk bersedia pada 9 Jun bagi meneruskan perbicaraan, jika permohonan ini tidak memihak kepadanya (Rosmah),” kata Zaini.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan Rosmah menjawab tiga tuduhan rasuah yang dihadapinya, dan kes pembelaan ditetapkan pada 9-10, 15-17, 22-23 Jun, serta 12 dan 15 Julai.

Tiada ulasan: