Ahad, 2 Mei 2021

Lelaki miliki senapang buatan sendiri, dadah dicekup

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
 
LELAKI yang ditahan kerana memiliki senapang buatan sendiri dan dadah syabu di Pantai Remis hari ini. - GAMBAR IHSAN PDRM

LUMUT: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk senapang buatan sendiri dan dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Pantai Remis, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis menemui senapang angin itu dan satu penyedut minuman berisi bahan seberat 0.2 gram dipercayai dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang ramai.

“Suspek berusia 27 tahun mengaku menggunakan senapang tersebut untuk menembak burung dan menafikan terlibat dalam apa-apa kegiatan jenayah menggunakan senjata itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nor Omar, suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin ini manakala barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pantai Remis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: