Ahad, 2 Mei 2021

Pelajar asrama dibenar pulang 6 Mei ini

PUTRAJAYA: Semua pelajar di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) atau Kolej Vokasional (KV) dibenarkan  pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri secara berperingkat.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, mereka dibenarkan pulang mulai 6 Mei ini bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (selain empat negeri itu).

Menurut kenyataan kementerian itu lagi, terdapat empat kaedah ditetapkan untuk pergerakan pulang iaitu menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, katanya, mereka boleh menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri (hanya untuk pelajar Tingkatan Enam dan pelajar KV).

“Pihak sekolah, KTE atau KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga.

“Sekiranya ibu bapa atau penjaga menjemput anak atau anak jagaan mereka, surat pengesahan bagi tujuan pergerakan ibu bapa atau penjaga merentas negeri atau zon akan dikeluarkan oleh pihak sekolah, KTE atau KV bagi setiap murid.

“Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan,” katanya  hari ini.

Menurutnya lagi , merujuk prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin.

Katanya, ini termasuk murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh PKPD.

KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada pihak sekolah, KTE atau KV dan ibu bapa atau penjaga. 

“Garis panduan ini turut terpakai kepada Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan kementerian . Garis panduan ini boleh dimuat turun di laman sesawang https://www.moe.gov.my.

“Seperti mana yang diumumkan KPM pada 26 April lalu, murid perlu kembali ke asrama sebelum atau pada 12 Jun bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B.

” Pihak sekolah, KTE atau KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga.

“Kementerian sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: