Ahad, 2 Mei 2021

5,000 bungkus makanan habis dalam 15 minit

 Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

SULAIMAN Md. Ali (kiri) bersama Ab. Rauf Yusoh (kanan) ketika majlis mengedarkan bungkusan makanan percuma kepada pengunjung bazar Ramadan di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH: Sebanyak 5,000 bungkus makanan percuma untuk juadah berbuka puasa habis diedarkan dalam tempoh 15 minit kepada pengunjung bazar Ramadan Masjid Tanah dekat sini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, program anjuran UMNO Bahagian Masjid Tanah itu melibatkan 50 gerai dengan setiap satunya diperuntukkan 100 bungkus makanan bernilai RM5 sebungkus.

Menurut beliau, program yang sama juga turut berlangsung serentak di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) lain iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Taboh Naning dan Ayer Limau.

“Sambutan hari ini sangat luar biasa apabila 5,000 paket makanan selesai diedarkan dalam masa yang singkat. Semua penduduk Masjid Tanah boleh menikmati sumbangan ikhlas kami tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Program seumpama ini membuktikan keikhlasan UMNO dan Barisan Nasional kepada semua penduduk. Kebersamaan selama ini kita hargai bersama dan nikmatnya juga dikongsi bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Sumbangan Juadah Berbuka Puasa Percuma di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ab. Rauf yang juga Speaker DUN Melaka berkata, selepas ini ada lagi beberapa program mendekati rakyat yang akan dilaksanakan sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri.

“UMNO Masjid Tanah akan memberi sepapan telur kepada penduduk dalam masa terdekat. Setiap Japerun akan diberi 1,500 papan telur dan penduduk perlu memgambil di sana.

“Kami dengan kerjasama Malakat Mall juga akan mengedarkan minyak masak satu dan dua kilogram dengan perbelanjaan minimum RM30 dan  RM50. Selain itu petrol percuma turut diberi kepada semua pemilik motosikal  tiga hari sebelum Aidilfitri,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: