Jumaat, 14 Mei 2021

Lelaki ditahan bantu siasatan kes rusuhan

 Oleh NUR ALINA HASSAN

TANGKAP layar sekumpulan individu yang bertindak agresif membakar suar di atas jalan raya sambil menggantung kain rentang berbentuk hasutan di Jalan Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan membabitkan sekumpulan individu yang dipercayai berlaku di Jalan Parit Raja, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai boleh membantu siasatan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

Terdahulu, satu video berdurasi lebih dua minit memaparkan kejadian yang dipercayai berlaku pada tengah malam disertai kira-kira 20 individu yang kebanyakannya penunggang motosikal.

Mereka bertindak agresif apabila membentang kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’ ketika berhimpun di jalan tersebut sambil membakar suar dan membuat kecoh.

“Sebaik sahaja menerima laporan pada hari yang sama, polis bergegas ke lokasi dan mendapati kain rentang berkenaan telah diturunkan oleh orang awam.

“Susulan kejadian itu, polis telah menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Ismail, pada pukul 7.36 malam semalam juga, satu lagi laporan diterima berkaitan kejadian sama apabila seorang pengadu lain melihat video rusuhan terbabit mulai tular di media sosial.

Kata beliau, pengadu mendakwa semasa dia melayari satu laman sosial telah melihat rakaman video satu perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’.

“Pengadu juga mendakwa perhimpunan tersebut tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut adalah rusuhan sama yang berlaku di kawasan berkenaan berdasarkan jenis kain rentang digantung di jejantas,” katanya.

Justeru, Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-436 3300.

Tegasnya, tindakan pencegahan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di daerah Batu Pahat, khususnya kawasan Parit Raja. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: