Jumaat, 14 Mei 2021

Remaja perempuan ditemukan mati di tepi jalan

Oleh MOHD RAFIE AZIMI
SEORANG remaja perempuan ditemukan meninggal dunia di tepi jalan dekat simpang Kampung Pokok Pauh, Pokok Sena, Alor Setar, kelmarin.

ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan ditemukan meninggal dunia di tepi jalan dekat simpang Kampung Pokok Pauh, Pokok Sena dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 7.45 malam.

Menurutnya, siasatan awal mangsa mengalami kecederaan dengan kesan lubang sepanjang kira-kira 1.5 sentimeter di bahagian depan paha kanannya.

Katanya, pengecaman mayat mangsa dibuat telah dibuat oleh ibu remaja terbabit di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

“Susulan itu polis menahan sembilan individu dalam dua siri tangkapan yang dilakukan kira-kira pukul 5 petang dan 11.15 malam semalam bagi membantu siasatan.

“Tangkapan pertama melibatkan lapan individu terdiri daripada lima lelaki dan tiga perempuan berusia antara 13 hingga 33 tahun manakala tangkapan kedua dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di Taman Derga Jaya, Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kesemua suspek mengaku berada dalam parti tertutup (private party) yang dihadiri remaja perempuan terbabit.

“Siasatan awal mendapati parti tersebut berlangsung pada Ahad malam hingga pagi Isnin. Daripada sembilan individu yang ditahan, hanya seorang positif dadah jenis ketamine.

“Setakat ini, kami masih menanti keputusan bedah siasat untuk mengenal pasti punca lubang di paha mangsa. Kesemua yang ditahan, direman selama enam hari hingga 18 Mei depan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: