Isnin, 17 Mei 2021

KKMM pantau platform media sosial padam kandungan sokong Palestin SAIFUDDIN ABDULLAH

SAIFUDDIN ABDULLAH

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memantau perkembangan sesetengah platform media sosial antarabangsa yang kelihatan berat sebelah kerana terlalu mudah memadamkan kandungan yang menyokong perjuangan Palestin.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan platform kandungan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan diseru berganding bahu dalam usaha-usaha meningkatkan kesalinghubungan internet.

Ini kerana, katanya, usaha itu adalah bagi memastikan penyebaran maklumat yang sahih, adil dan saksama.

“Di samping meneruskan agenda perjuangan Palestin yang sedia ada, kita juga perlu melihat peranan dan suntikan aspirasi ‘generasi baharu’ pejuang dan aktivis Palestin yang menggerakkan pendekatan-pendekatan baharu. Contohnya yang menggelar Israel sebagai negara apartheid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, KKMM terus menyokong perjuangan Palestin secara komprehensif dan konsisten, setiap kali keganasan Israel memuncak sepertimana yang berlaku sekarang.

“Sebagai umat Islam dan warga dunia yang menegakkan kebenaran, keadilan dan kedamaian, masyarakat sewajarnya terus menyokong perjuangan Palestin secara komprehensif dan konsisten,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendedikasikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) yang diraikan pada 17 Mei setiap tahun khusus untuk perjuangan rakyat Palestin.

“Saya berdoa agar kezaliman terhadap mereka segera berakhir dan perdamaian dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: