PUTRAJAYA: Sejumlah dua juta belia dan pelajar sepenuh masa layak memperoleh nilai kredit e-tunai sebanyak RM150 bermula 1 Jun ini.
Kementerian Kewangan memberitahu, inisiatif berkenaan di bawah Program eBelia (eBelia) memperuntukkan nilai RM300 juta bertujuan meringankan beban kewangan golongan itu.
Jelasnya, ia antara lain menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.
“Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak.
“Kerajaan menambah baik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah program PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta. Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih satu juta peniaga di dalam dan luar talian.
Katanya, setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai itu, yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk cash back, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen.
Kementerian itu memaklumkan, inisiatif eBelia dibuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun ini (lahir pada 2001 hingga 2003); atau merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan berdaftar.
“Data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.
“Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai ini dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021. Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, eBelia merupakan kerjasama Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/ebelia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan