PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan dirinya perlu menjalani kuarantin wajib selepas menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.
Sambil menunjukkan gelang merah jambu yang dipakainya, Khairy tetap meneruskan sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba secara maya, hari ini.
Sepanjang sidang media secara maya itu yang berlangsung lebih satu jam, Khairy yang berada dalam bilik bacaannya dilihat bersemangat menjawab persoalan yang diutarakan wartawan biarpun kadangkala mengalami batuk.
“Saya perlu menjalani kuarantin di rumah bermula hari ini sementara menunggu keputusan ujian saringannya.
“Saya menjadi kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19 dan kini sedang berada di rumah malah tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Adham turut memaklumkan dirinya perlu menjalani kuarantin sekiranya Khairy disahkan positif.
“Saya perlu kuarantin sekiranya Khairy positif kerana saya kontak rapat beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan