Isnin, 17 Mei 2021

Upah RM20 seludup barang subsidi ke Thailand

Oleh YATIMIN ABDULLAH
BARANGAN bersubsidi yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan Perodua Viva berjaya dirampas oleh KPDNHEP Kelantan dan PGA Batalion 8 di Tumpat semalam. - Ihsan KPDNHEP

TUMPAT: Dengan upah RM20, pemuda tempatan berusia 28 tahun sanggup mengambil risiko  memunggah barang bersubsidi bernilai RM1,804 ke pangkalan haram sebelum diseludup ke Thailand menerusi  Sungai Golok.

Bagaimanapun, lelaki itu dicekup penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di Kampung Bendang Pak Yong sini, pukul 4.30 petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, serbuan menerusi Op Benteng Covid-19 itu berjaya merampas 340 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi, 200 kg tepung gandum dan 240 kg gula pasir.

Kesemua barangan itu diangkut pemuda itu menggunakan  kereta Perodua Viva miliknya.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku dia mengambil upah RM20 bagi satu trip penghantaran dari lokasi ditetapkan oleh individu yang tidak dikenali.

“Suspek ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azanizam Affendi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sehingga menyebabkan ketirisan terhadap subsidi negara kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tiada ulasan: