Isnin, 17 Mei 2021

Bawa RM4.2 juta dadah guna surat palsu

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ABDUL MAJID Mohd. Ali (dua dari kanan) menunjukkan surat kebenaran rentas negeri palsu yang digunakan suspek untuk meloloskan diri di SJR. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Kelicikan dua lelaki menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri palsu untuk membawa RM4.2 juta dadah merentas negeri digagalkan polis, minggu lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 42 tahun itu ditahan ketika menaiki kereta jenis Volkswagen Passat kira-kira pukul 5.15 petang di Tanjung Kling dekat sini pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, penahanan itu susulan daripada kejayaan tangkapan pertama pada Januari lalu apabila pihaknya merampas 54 kilogram dadah jenis syabu.

Katanya, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pihaknya melancarkan Op Passat 2 dan memberkas dua lelaki setelah dikesan membawa 104 kilogram syabu bernilai RM4.2 juta menggunakan sebuah kereta jenis sama.

“Kumpulan ini masuk di negeri ini selepas menggunakan surat kebenaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

“Suspek mendakwa mereka menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan untuk melepasi sekatan SJR.

“Malah, pemeriksaan rambang gagal mengesan kegiatan mereka disebabkan suspek telah mengubahsuai bahagian kerusi belakang sehingga but kenderaan yang diluaskan bagi menyimpan kesemua dadah dibawa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor dan memberkas sepasang kekasih dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

“Suspek lelaki berusia 40 tahun adalah seorang ahli kimia yang pernah terlibat dalam sindiket makmal dadah di Muar.

“Dadah bernilai RM4.2 juta ini dipercayai adalah bekalan untuk pasaran negara-negara luar yang diedarkan melalui jalan laut,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 59B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: