Isnin, 24 Mei 2021

Kerajaan tak pilih kasih kenakan tindakan

 Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kerajaan mengamalkan dasar pilih kasih atau double standard terhadap individu tertentu yang berhadapan tindakan undang-undang akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, tidak kira sama ada menteri atau perdana menteri, jika mereka dibuktikan melanggar undang-undang, maka hukuman, kompaun, pendakwaan dan sebagainya akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kekangan bagi kerajaan untuk melakukan pemantauan terhadap kepatuhan SOP oleh rakyat ekoran jumlah penguat kuasa yang terhad.

“Rakyat Malaysia ni, ada 30 juta orang, semua terikat dengan SOP. Takkan 100,000 penguat kuasa nak jaga 30 juta ini? Tak mungkin boleh.

“Sebab itu ‘self lockdown’ itu penting supaya taklah kita berdepan dengan hukuman,” katanya pada slot Bicara Khas bersama YAB Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kadar hukuman yang berbeza-beza dikenakan kepada pihak didapati bersalah melanggar SOP tertakluk kepada keberatan kes mereka serta kesalahan dilakukan.

“Saya tak nafi mungkin ada yang lihat berbeza-beza layanan, itu persepsi tetapi realitinya tak harus ada perbezaan,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: