Kuala Lumpur: "Bersyukur dapat jiran yang baik, biasanya orang lain pasti jauhkan diri tetapi mereka sanggup ambil risiko tolong jaga anak kami buat sementara waktu ini," kata ibu dua anak, Nor Era Fadzirah Mahat.
Nor Era Fadzirah, 27, memberi reaksi itu selepas dia dan suaminya, Mohamad Ramzi Mohamed Yusof, 30, disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada Khamis lalu.
Dia tiada pilihan lain dan terpaksa membuat keputusan menyerahkan anaknya kepada jiran, tambahan pula kakaknya, Nor Fadzilah Mahat, 36, dan suaminya, Wan Mohamad Khairy Ahmad Harun, 35, turut disahkan positif Covid-19 kerana menetap di rumah yang sama di Setapak, di sini.
Menurutnya, hanya dua anaknya yang berusia 10 bulan dan tiga tahun, selain anak kepada kakaknya yang berusia lima tahun disahkan negatif daripada wabak itu.
"Keputusan (ujian calitan) keluar jam 11 malam pada hari sama dan klinik maklumkan semua orang dewasa positif, manakala keputusan kanak-kanak pula negatif.
"Pada waktu itu, kami semua buntu sebab anak kecil lagi, urusan penjagaan macam mana," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, mujur jiran sebelah rumahnya yang sudah dikenalinya sejak tiga tahun menghulurkan bantuan secara sukarela menjaga dua orang anaknya dan anak buahnya itu.
"Agak sedih sebenarnya bila sebut pasal anak sebab tak pernah berenggang dan kami terpaksa berjauhan dalam masa yang lama.
"Kerana itu kami ingin nasihatkan kepada ibu bapa di luar sana supaya lebih berhati-hati kerana kanak-kanak tidak salah, kita sebenarnya pembawa virus itu apabila kita keluar bekerja dan sebagainya.
"Orang tua kita, anak dan golongan berisiko yang menjadi mangsa. Memanglah setengah kanak-kanak mempunyai antibodi lebih kuat tapi kita tidak tahu apa akan jadi nanti dan kami tidak mahu ambil risiko," katanya.
Nor Era Fadzirah berkata, dia percaya jirannya dalam urusan penjagaan kerana sudah mengenali hati budi masing-masing selain turut mempunyai dua orang anak yang berusia tiga dan tujuh tahun.
"Semalam, jiran sendiri sudah menjalani ujian calitan dan keputusannya negatif. Saya harap sangat pada ujian kali kedua keputusan masih sama.
"Pada awalnya memang kami ingin bagi keluarga sendiri jaga iaitu mak cik saya tetapi jiran nasihat lebih baik duduk dengan mereka.
"Ini kerana mak cik saya menghidap asma dan kesihatannya mungkin berisiko jika dijangkiti Covid-19," katanya.
Menurutnya, sebagai langkah berhati-hati dia mengemas barang keperluan anaknya itu dengan memakai set alat perlindungan peribadi (PPE) buatan sendiri.
Malah, katanya, dia turut mengurangkan sentuhan dan mengasingkan diri daripada anaknya sebaik keputusan keluar dan menyerahkan penjagaan anak kepada jiran pada pagi Jumaat lalu.
"Alhamdulillah, setakat ini mereka baik-baik saja. Anak saya yang bongsu juga sudah mula minum susu tepung jadi tiada masalah.
"Tiga kediaman di kawasan rumah kami juga ada keluarga positif dan kami masing-masing maklumkan di kumpulan WhatsApp supaya orang lain dapat berhati-hati.
"Dari segi barang basah dan keperluan lain, jiran serta ahli keluarga lain ada tolong belikan dan hantar sementara kami kuarantin di rumah sekarang," katanya.
Katanya, kini dia dan ahli keluarga yang positif Covid-19 sudah berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa dan bakal membuat pemeriksaan kesihatan di sana hari ini.
Terdahulu, perkongsian suaminya mengenai anaknya yang terpaksa diserahkan kepada jiran sebagai langkah pencegahan Covid-19 mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok dengan tontonan lebih 519,000 kali setakat ini.
Menerusi video berdurasi 1 minit 1 saat itu kelihatan anaknya yang seolah-olah keliru dengan situasi itu menangis kerana terpaksa berpisah dengan ibu bapanya di pagar rumah sebelum diambil jirannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan