Rabu, 12 Mei 2021

Kemudahan di lebuh raya PLUS disedia 24 jam sepanjang PKP

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kemudahan di semua lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah disediakan dan dibuka 24 jam sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi berkata lebih 250 pasukan PLUSRonda ditugaskan untuk membuat rondaan di lebuh raya tersebut, selain semua kemudahan awam seperti surau dan tandas di R&R dan hentian sebelah dibuka seperti biasa.

"Bagi pelanggan lebuh raya yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh tersebut, kami akan memastikan tahap perkhidmatan di lebuh raya kami sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik, walaupun PKP dilaksanakan.

“Kami telah mengambil langkah bagi memastikan aspek keselamatan yang tinggi sebagai komitmen kami untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PLUS juga menempatkan kren serta trak tunda yang bersiap sedia di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya untuk bantuan kecemasan dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan terkandas dengan lebih pantas sepanjang perayaan Aidilfitri itu.

Katanya, sempena perayaan tersebut, PLUS menghentikan sementara semua kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di sepanjang lebuh raya bermula semalam hingga 17 Mei, kecuali melibatkan kerja-kerja pembaikan kecemasan yang kritikal.

Zakaria berkata bermula esok hingga 7 Jun, gerai makanan dan minuman, kedai serbaneka dan gerai perniagaan lain di R&R beroperasi pada pukul 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari (tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan).

Bagaimanapun, hanya perkhidmatan pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja dibenarkan dalam tempoh tersebut.

“Untuk keselesaan pelanggan, PLUS menawarkan khidmat beli dan bawa pulang makanan tanpa sentuh dengan lebih mudah dengan pelanggan hanya perlu membuat prapesanan makanan daripada rakan niaga dan pengendali gerai di 21 R&R terpilih," katanya dengan menambah, prapesanan boleh dibuat melalui Aplikasi PLUS atau melalui pautan orderdisini.plus.com.my.

Sementara itu, beliau berkata PLUS menggalakkan pelanggan lebuh raya memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.

"Pelanggan juga dapat berinteraksi dengan PLUS Unique Texting Realtime Interface iaitu chatbot kecerdasan buatan (A.I) pertama lebuh raya yang lebih dikenali sebagai 'Putri', yang menyediakan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS,” katanya.

Beliau berkata sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan di lebuh raya, pelanggan dinasihatkan supaya menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000.- Bernama

Tiada ulasan: