Rabu, 12 Mei 2021

PKP3.0: Peguam Muslim kemuka lapan cadangan pada kerajaan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat mencapai matlamatnya.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pihaknya menyokong segala usaha kerajaan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

"Menutup sektor yang paling banyak menyumbang kadar pesakit Covid-19 dan melaksana langkah proaktif bagi mengekangnya penularan di dalam sektor tersebut.

"Menubuhkan pusat kajian dan pembangunan (Research and Development Centre) secara khusus dan terfokus kepada penghasilan vaksin tempatan dan pencegahan Covid-19 tidak terhad kepada perubatan moden sahaja tetapi termasuk aspek perubatan tradisional dan komplementari seperti perubatan Melayu/Islam, perubatan Cina, Ayurveda, herba dan perubatan jenis lain.

"Melaksanakan kembali moratorium secara automatik kepada pinjaman atau pembiayaan perumahan dan kenderaan ataupun membeli sebahagian daripada pinjaman atau pembiayaan tersebut dari bank dengan tujuan meringankan bayaran bulanan peminjam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malaysia hari ini melaksanakan PKP3.0 sehingga 7 Jun depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ia selepas negara merekodkan kadar jangkitan melebihi 4,000 sehari dan kini sedang berada dalam gelombang wabak berkenaan.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah pelaksanaan PKP 3.0. Bagaimanapun sektor ekonomi masih dibenarkan operasi seperti biasa.

Dalam pada itu, PPMM mendapat banyak aduan dan laporan dari ahli dan bukan ahli mengenai kesan PKP ditanggung oleh mereka yang rata-ratanya mengurangkan keberdayaan mereka untuk menjalankan kehidupan mereka.

Kesan PKP ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah peceraian, jenayah dan statistik masalah mental yang dihadapi oleh rakyat.

PPMM juga mencadangkan agar kerajaan mengecualikan atau mengurangkan cukai pendapatan pada tahun ini.

"Manakala agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi menggantung segala tindakan undang-undang terhadap rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid19 ini berkaitan dengan apa-apa bayaran yang tertunggak.

"Memberi bantuan kewangan kepada golongan B40 secara berkala dan efektif serta bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana secara berkala termasuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan SSM seperti firma guaman, peniaga tepi jalan dan lain-lain," katanya.

Tiada ulasan: