Rabu, 12 Mei 2021

RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri berjaya diperoleh semula

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan telah memperoleh semula RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri.

Kementerian itu berkata dana berkenaan diperoleh dengan bantuan Jabatan Keadilan AS (DOJ) yang menyerahkan wang itu ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

"Pemulihan dana berkaitan 1MDB ini tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat, terutamanya dengan DOJ.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat dan mengharapkan kerjasama erat di antara kita ini dapat diteruskan,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Perkembangan itu menjadikan jumlah dana 1MDB yang berjaya diperoleh semula sebanyak RM16.05 bilion.

Jumlah itu digunakan untuk membayar pinjaman yang diambil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd, yang disalahgunakan di bawah kerajaan BN sebelumnya.

Kementerian Kewangan mengatakan setakat ini, RM12.4 bilion dan RM3.1 bilion telah digunakan dari akaun amanah itu untuk membayar hutang 1MDB dan SRC International.

Bagaimanapun, 1MDB dan SRC International masing-masing masih berhutang RM39.8 bilion dan RM2.57 bilion.

Tengku Zafrul berkata jumlah yang dipulihkan hanya akan mencukupi untuk menampung hutang 1MDB dan SRC International sehingga 2022.

“Baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

"Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan," katanya.

Tiada ulasan: