Isnin, 3 Mei 2021

Kelab malam tak dibenar, mereka buat parti persendirian pula


AKTIVITI hiburan tak pernah dibenarkan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama hinggalah sekarang.

Sebanya kerana kesukaran memastikan penjarakan fizikal namun bagi kaki parti, mereka ada seribu satu cara untuk berhibur.

Malah, hal ini dipermudahan apabila ada yang buat bisnes menjadi penganjur parti persendirian di premis khas.

Ini seperti mana yang berlaku awal pagi tadi yang membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam.

Mereka diambil tindakan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kerana terlibat parti persendirian di sebuah premis di Taman OUG Parklane Off Jalan Klang Lama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, anggota D7 IPK KL menyerbu premis itu jam 12.50 tengah malam.

Menurutnya, polis menahan lima lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam berusia 22 hingga 51 tahun serta merampas tiga botol minuman keras, akses kad, dua unit speaker, lampu parti, laser stage lighting dan serangkai kunci.

“Hasil siasatan awal mendapati penganjur menerima tempahan melalui telefon dan sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan kadar bayaran sewa dari 6 petang hingga 6 pagi sebanyak RM1,500.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan direman hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (AHWPKL), Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 19 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

Tiada ulasan: