Isnin, 3 Mei 2021

Takiyuddin suruh IGP lapor polis, ingatkan SPP ada dalam Perlembagaan


SEORANG menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador membuat laporan polis.

Gesaan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan dakwaannya mengenai wujud campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama Takiyuddin mengingatkan yang Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan bahawa terdapat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, tatatertib dan perkara kebajikan.

Katanya, SPP ini mesti dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas polis dan dalam konteks ini Menteri Dalam Negeri yang diberi tanggungjawab.

“Jadi, jangan ada pula mana-mana pihak yang mempersoalkan mengenai peruntukan Perlembagaan ini.

“Jangan senang-senang mentafsirkan peruntukan Perlembagaan yang kadang-kadang mengikut emosi serta rasa tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Majlis Penyampaian Sagu Hati Aidilfitri kepada Imam Masjid Jumaat, halaqat, penghulu bagi Parlimen Kota Bharu di Dewan Bunga Raya, Majlis Daerah Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) hari ini.

Menurut laporan BH Online itu, Takiyuddin menegaskan yang laporan polis itu penting bagi membolehkan proses siasatan berjalan mengikut undang-undang sedia ada.

“Jika dakwaan itu betul, pertama dia perlu ikut saluran dengan membuat laporan. Daripada laporan itu, orang akan ambil tindakan, biarlah proses undang-undang itu ambil jalannya yang tersendiri.

“Saya juga menasihatkan penjawat awam, pegawai kerajaan terutama ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati apabila mereka bercakap mengenai perkara berkaitan undang-undang,” katanya.

Takiyuddin berkata, sekiranya ada apa-apa isu atau masalah dalam pentadbiran sesuatu jabatan, pegawai kerajaan tidak boleh mendedahkan perkara itu di tempat yang tidak sepatutnya.

“Mereka sepatutnya boleh mendedahkan isu atau masalah yang dihadapi dalam mesyuarat di peringkat kementerian, suruhanjaya dan adalah tidak wajar untuk seorang pegawai kerajaan kononnya mendedahkan perkara ini dalam media massa.

“Ingin saya tegaskan di sini, dari segi undang-undang pentadbiran, ia dipanggil tindakan yang membelakangkan atau mencela pihak kerajaan.

“Bukan saya kata pegawai kerajaan tidak boleh beri pandangan atau mengkritik, tetapi haruslah mempunyai saluran yang betul,” katanya.

Tiada ulasan: