Rabu, 12 Mei 2021

Pegawai awam berdepan tindakan jika gagal patuh PKP

fazleensafina

Jaga nama baik perkhidmatan awam, tak melakukan aktiviti dilarang

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengingatkan semula para pegawai awam agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19.

JPA menerusi satu infografik memetik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai berkata, tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap pegawai awam yang enggan mematuhi PKP tersebut.

“Sekiranya pegawai awam disabitkan kesalahan melanggar PKP, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993],” menurut infografik itu yang diulang ciap daripada hantaran asal pada Januari lepas.

Mohd Khairul Adib berkata, pegawai awam hendaklah menjaga nama baik perkhidmatan awam dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKP.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekali lagi pelaksanaan PKP di negara ini dengan menggariskan larangan dan arahan yang perlu dipatuhi termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Aidilfitri Khamis ini.

Selain itu, majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa dan bagi sektor awam, penentuan BDR adalah berdasarkan garis panduan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa.

PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020, manakala PKP 2.0 dilaksanakan ke atas enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 Januari hingga 26 Januari sebelum dilanjutkan untuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang hingga 4 Mac lepas. -Bernama

Tiada ulasan: