Khamis, 13 Mei 2021

Briged Al-Qassam lancar serangan balas Zionis

Oleh HASIF IDRIS
SEORANG rakyat Palestin tidak dapat menahan kesedihan selepas beberapa penduduk meninggal dunia serta mengalami kecederaan selepas diserang pengganas Israel di Hospital Gaza. -AFP

GAZA: Briged Al-Qassam mengumumkan pihaknya berjaya melancarkan 130 serangan roket di Askalan, Ntivot dan Sderot.

Sayap tentera bagi Hamas yang digeruni oleh rejim Israel menerusi akaun Telegram rasmi berkata, serangan itu sebagai tindak balas apabila menara kediaman penduduk diserang dalam tempoh 24 jam serta kematian komander kanan Hamas.

Dalam tempoh kurang setengah jam sebelum pengumuman itu dilakukan, pesawat perang israel mengebom menara Ash Shourouq yang menempatkan pejabat institusi akhbar termasuk premis perniagaan.

Awal pagi semalam, pengganas Israel melancarkan serangan dan menyasarkan pemimpin utama Al-Qassam.

Rejim Zionis Israel sebelum itu, terus melancarkan serangan udara terhadap kubu kuat pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza dengan menyasarkan beberapa bangunan utama termasuk ibu pejabat polis.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah penduduk Palestin yang maut akibat serangan udara tentera Israel meningkat kepada 43 orang termasuk 13 kanak-kanak.

Serangan balas itu juga menyaksikan kekuatan aset pertahanan pejuang Palestin apabila lima penduduk Israel maut.

Rejim Zionis memaklumkan, kira-kira 1,500 roket dilancarkan dari Gaza ke beberapa lokasi di Israel.

Kelmarin, tentera Hamas melancarkan sejumlah roket terhadap hub ekonomi di Tel Aviv sebagai serangan balas selepas tentera Israel memusnahkan blok menara setinggi 12 tingkat di Gaza, ketika pertempuran antara kedua-dua pihak terus memuncak.

Bulan Ramadan tahun ini kembali mencatatkan siri keganasan di Baitulmuqaddis selepas tentera Israel melakukan pegusiran secara paksa terhadap penduduk Palestin di wilayah mereka sendiri di Sheikh Jarrah. -AGENSI

Tiada ulasan: