Khamis, 13 Mei 2021

Covid-19: Kerajaan Pahang jamin kemudahan kesihatan masih terkawal

Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA

WAN Rosdy Wan Ismail (duduk) dan Abd. Jalil Hassan (dua kiri) serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan barisan pemimpin kerajaan negeri ketika melawat SJR di Tanjung Lumpur, di Kuantan, Pahang. UTUSAN/KHAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan kemudahan kesihatan sedia ada di negeri ini masih mampu menampung peningkatan kes jangkitan pandemik Covid-19 setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kes jangkitan Covid-19 bukan sahaja meningkat di negeri ini malah membabitkan seluruh negara namun kerajaan negeri memberi jaminan ia masih dalam kawalan.

“Kita buat sehabis baik dan mereka semua (petugas kesihatan) telah bersedia untuk memberi perkhidmatan sebab ini (peningkatan kes) masih dalam kawalan malah ia boleh diuruskan dengan baik.

“Sebab itu kita tidak mahu keadaan menjadi lebih parah seperti yang berlaku di luar negara, jadi sementara masih dalam kawalan lebih baik kita ambil tindakan awal,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tanjung Lumpur dekat sini hari ini

Yang turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Sehingga semalam, Pahang merekodkan 63 kes positif baharu membabitkan 18 kes dari Kluster Tanah Putih; dua kes Kluster Mahkota Height; satu kes Kluster Indera Mahkota 2; sebanyak 29 kes hasil saringan kontak rapat; lapan kes saringan bergejala; empat kes saringan bersasar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan satu kes saringan pekerjaan.

Sementara itu, mengulas rungutan orang awam tentang lokasi sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, Wan Rosdy berkata, pemilihan dibuat selepas kajian teliti dilakukan polis.

“Lokasi sekatan jalan raya ini diputuskan selepas kajian dibuat… memang tidak dinafikan apabila ada sekatan jalan raya, pergerakan orang ramai sedikit terganggu dan inilah tujuan utama kita buat PKP, untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.

“Kalau tidak ada sekatan jalan raya dan semua bebas ke sana ke sini, maknanya kita tidak akan berjaya mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan akhirnya menyusahkan semua pihak.

“Saya fikir semua ini (sekatan jalan raya) hanyalah bersifat sementara dan apabila kita sudah berjaya mengawal (penyebaran) wabak Covid-19, sudah pasti kita akan dapat bergerak dengan lebih selesa dan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tiada ulasan: