Selasa, 4 Mei 2021

Beli karpet di Nilai, Neelofa dan suami dipanggil polis


SEOLAH-OLAH tidak serik ‘dikecam’ dan dilihat tidak mengendahkan undang-undang, selebriti popular, Neelofa dan suaminya, PU Riz sekali lagi ‘mencabar’ netizen apabila dikesan merentas negeri.

Kali ini, pengacara dan usahawan itu telah berkongsi pula video beliau dan suaminya sedang membeli karpet dipercayai di Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan.

Dua video yang dimuat naik ke Insta Story itu turut memaparkan seorang lelaki dipercayai pemilik kedai berkenaan mempromosikan perniagaan miliknya.

Video tersebut bagaimanapun dipercayai telah dipadamkan.

Ekoran tindakan itu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Haris Ismail akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dalam masa terdekat kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman memaklumkan polis telah pun menjalankan siasatan berhubung penularan video itu selepas Neelofa dan suaminya dipercayai berada di sebuah premis perniagaan karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 semalam.

Menurut Mohd. Fazley, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan selesai dijalankan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya mematuhi pelaksanaan PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, ia juga disiasat mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Neelofa sebelum ini telah dikenakan kompaun RM20,000 manakala suaminya, PU Riz didenda RM10,000 kerana melanggar SOP PKPB dengan kompaun tersebut tidak dibenarkan diskaun.

Turut dikompaun 20 orang ahli keluarga Neelofa kerana ingkar SOP penjarakan fizikal.

Pasangan suami isteri itu juga telah melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Tiada ulasan: