Selasa, 4 Mei 2021

Imam, bilal, pengerusi surau meninggal kerana COVID-19: JAINJ tunggu laporan KKM


surau

BARU-BARU ini tular berita mengenai imam, bilal dan pengerusi  Surau Al Jawhar di Taman Impian Emas, Johor Bahru meninggal dunia akibat COVID-19.

Setakat ini, keluarga Imam Muhammad Nazirul Jamaludin, 32, meninggal dunia pada 28 April lalu dan dijangkiti COVID-19 sebelum itu.

Menurut berita yang tular, selang tiga hari kemudian, bilal Allahyarham Rosli Mohamad dan pengerusi surau itu, Allahyarham Samad pula menghembuskan nafas terakhir. Bagaimanapun, setakat ni, tiada pengesahan punca kedua-dua Allahyarham ini meninggal dunia.

Ketika ditanya mengenai berita itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyatakan mereka sedang menunggu laporan penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata pihaknya akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu kepada umum sebaik pihaknya menerima laporan penuh itu.

“Masjid berkenaan juga dalam masa sama telah ditutup selama tujuh hari dan kini tinggal baki tiga hari sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru hari ini.

Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian imam, bilal dan pengerusi di sebuah masjid di Taman Impian Emas yang tular di media sosial baru-baru ini kerana didakwa akibat Covid-19.

Semalam menerusi satu laporan berita, salah seorang ahli keluarga kepada imam berkenaan juga mendakwa kematian abangnya itu adalah akibat daripada jangkitan Covid-19 pada 28 April lepas.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Mainj berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat itu yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Dalam majlis berkenaan, Mainj juga menerima zakat perniagaan daripada Johor Corporation iaitu sebanyak RM5.76 juta, manakala Lembaga Tabung Haji pula sebanyak RM9.25 juta.

Sementara itu, Tosrin berkata pada tahun ini Mainj memberikan zakat berjumlah RM500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk tujuan menguruskan golongan gelandangan di negeri ini manakala RM210,000 diberi kepada pertubuhan, rumah-rumah kebajikan dan sekolah pendidikan khas.

Tiada ulasan: