Khamis, 13 Mei 2021

440 ditahan ingkar SOP di hari akhir Ramadan

ismail
ISMAIL SABRI YAAKOB

BULAN Ramadan telah pun melabuhkan tirainya semalam dan Syawal tiba hari ini untuk diraikan umat Islam seluruh negara.

Kehadiran Syawal tidak bermakna orang ramai sudah boleh meninggalkan kehidupan normal baharu apatah lagi selepas setahun Malaysia dilanda pandemik COVID-19.

Semua pihak diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam usaha memastikan lengkuk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan.

Namun begitu, masih ada segelintir yang berdegil dan buktinya, seramai 440 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada hari terakhir Ramadan, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, seramai 435 individu telah dikompaun manakala lima lagi direman.

Menurut Ismail Sabri, seramai 185 individu telah ditahan kerana gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis manakala 138 lagi akibat tidak memakai pelitup mula.

Katanya, 15 individu pula ditahan kerana mengabaikan penjarakan fizikal dan 102 atas lain-lain kesalahan.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 66,242 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 3,536 pasukan pematuhan melibatkan 15,422 anggota telah membuat pemantauan di 4,648 pasar raya, restoran (4,803), kilang (2,522), bank (4,113), pejabat kerajaan (1,108) dan penjaja (2,620).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,062), tempat ibadah (3,383), tempat riadah (1,713), terminal pengangkutan darat (1,720), terminal pengangkutan air (349) dan terminal pengangkutan udara (115),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan Op Benteng semalam telah merampas dua buah kenderaan darat manakala 118 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 482 sekatan jalan raya (SJR).

“SJR yang dilakukan semalam merangkumi 428 Op Penawar atau SJR PKP, 44 Op Benteng PDRM dan 9 Op Benteng AKSEM,” jelas beliau.

Tiada ulasan: