Khamis, 13 Mei 2021

Suasana 1 Syawal di Pusat Kuarantin MAEPS

Oleh ainolhjbro

SEAWAL subuh, takbir Hari Raya sudah bergema di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Maeps ini. Solat sunat Aidilfitri berlangsung di dewan pada pukul 8 pagi dihadiri semua pesakit Covid-19 beragama Islam, manakala rakan yang lain meraikan bersama selepas selesai solat.

Ruang kaca yang memisahkan pesakit dengan petugas kesihatan (frontliner), nampak tenang.

Yang menariknya hari ini ialah seramai 160 lebih pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, selepas selesai menjalani kuarantin dan rawatan di Maeps ini.

Apa lagi yang menarik ?

Begini .. jam 7 pagi, jemaah Covid-19 sudah menyusun sejadah di ruang lapang untuk sama-sama bertakbir. Jam 7.30 pagi, jemaah bertakbir dalam saf. Mereka duduk rapat kerana semuanya positif Covid. Ya, positif – kami sama di sini. Solat sunat Aidilfitri bermula jam 8 pagi dan selesai sekitar jam 8.45 pagi.

Kami bersurai ke katil masing-masing. Sebahagian yang dibenarkan pulang, sudah mula mengatur beg di laluan keluar. Yang bersamping, berbaju Melayu, kain berikat kemas, wow! Raya sungguh di Maeps ini. Anak kecil pun ada di sini.

“Sejarah betullah beraya di Maeps ni. Makan bersama, sama-sama bertanya kesihatan jiran sebelah katil. Siapa sangka dapat solat sunat Aidilfitri dan berjemaah dalam musim Covid,” kata Roslan, jiran sebelah katil berasal dari Jelebu.

Hari ini kan hari raya. Rupanya ada yang istimewa … dapat lontong kuah kacang, nasi impit dan rendang ayam. Perghhh … lagu raya pun dimainkan.

Aduhai tak terasa sedih sebab inilah ahli keluarga kami – pelbagai kaum di perkampungan Covid-19.

Makin kuat lagu raya. Akhir lagu nyanyian Allahyarham Sudirman pun berkumandang …. oooo oooo ooo balik kampung. Tersengih 160 lebih pesakit tadi. Untunglahhhh .. heh heh heh…

Dalam jam 10 pagi, ucapan Selamat Hari Raya daripada frontliner untuk kami. Apa lagi, semua datang di cermin untuk “selfie” dengan petugas kesihatan.

Dalam kalangan pesakit, kami bertukar biskut raya. Jangan ceritalah soal “video call”, hampir semua bersembang dengan keluarga termasuk saya. Sedih, sebak dan pilu … tak apalah bukan selalu kena macam ini. Sehingga saya menaip ini, masih ada yang buat “video call” bersama keluarga dan sanak saudara.

Jam 11 pagi semuanya macam biasa, pemeriksaan kandungan gula, tekanan darah tinggi dan lain-lain. Habis sudah Hari Raya. Saya tetap mengunyah biskut raya yang dibawa.

Jangannnnn…. 11.1 bacaan kandungan gula. Habis aku. Ampun nurse … kan raya, kita bermaaf-maafan. Maafkan saya, insan yang tak boleh nampak makanan sedap.
Maaf zahir batin.

*Ainol Amriz Ismail sedang menjalani kuarantin dan rawatan di MAEPS.

Tiada ulasan: