PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula ‘total lockdown’ atau perintah berkurung penuh seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilakukan tahun lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya ia cuma dikenakan di lokaliti yang diwartakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kita tidak mahu PKP 3.0 mengulangi semula PKP 1.0 kerana justifikasi dibuat bagi seimbang kepentingan kesihatan dan keperluan rakyat agar mereka dapat lagi terus hidup,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya wartawan pada sesi soal jawab selepas sidang akhbar bersama-sama dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri merujuk negara kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0 dan lebih teruk ialah golongan miskin dari kalangan B40 bergantung pendapatan harian.
Keadaan pada masa awal penutupan itu tahun lepas akibat wabak Covid-19 jelas beliau, menyaksikan lebih 800,000 individu dibuang kerja apabila banyak operasi syarikat ditutup.
“Saya difahamkan, banyak kes kemurungan berlaku dan tahap kesihatan mental rakyat agak terjejas disebabkan tiada pendapatan apabila sektor ekonomi langsung ditutup,” tambahnya.
Justeru ujarnya, PKP 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei lalu tidak menyaksikan ‘total lockdown’ macam tahun lepas dan lebih bersasar kepada lokaliti dikenakan PKPD yang lebih kecil.
Usaha itu juga katanya, memudahkan pihak berkuasa memantau pergerakan penduduk apabila sekitar kawasan terlibat dipasang kawat berduri dan dikawal 24 jam oleh tentera.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan SOP lebih ketat untuk PKP 3.0 yang berkuat kuasa di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula Selasa depan.
Antaranya, had operasi perniagaan hanya dari 8 pagi hingga 8 malam berbanding sebelum ini dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali kedai farmasi masih boleh dibuka sehingga 10 malam.
“Begitu juga waktu operasi kompleks beli-belah dan pasar malam cuma setakat 8 malam, namun stesen minyak yang terletak di lebuh raya kekal dibenarkan 24 jam,” tambah beliau.
Tindakan kerajaan memperketatkan semula SOP PKP 3.0 itu katanya, bagi mengawal trend pergerakan rakyat di luar rumah apabila operasi komersial ditutup lebih awal daripada normal.
Inisiatif itu kata Ismail Sabri, turut meliputi pelaksanakan kembali dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dimansuhkan pada 1 April lalu, untuk mengurangkan kehadiran di tempat kerja.
Bagi sektor awam, 80 peratus akan bertugas dari kediaman yang melibatkan hampir 750,000 kakitangan kerajaan serta bukannya dari perkhidmatan perlu dan petugas barisan hadapan.
“Manakala sektor swasta pula, kerajaan bersetuju BDR membabitkan 40 peratus staf iaitu hampir 6.1 juta pekerja dan baki 60 peratus ialah seksyen operasi dan pengurusan,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan juga akan mengehadkan kapasiti penumpang
pengangkutan awam di seluruh negara kepada 50 peratus daripada bilangan
penuh dibenarkan. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan