Saturday, April 24, 2021

Video anak halang bapa pergi bertugas atas kapal selam tular

KADANG kala kanak-kanak mungkin boleh merasai sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Mungkin itulah mahu disampaikan oleh seorang kanak-kanak kepada bapanya yang merupakan salah seorang anak kapal KRI Nanggala-402.

Video kanak-kanak itu yang melarang bapanya, Leftenan Satu Imam Adi pergi bertugas tular sehingga meruntun jiwa netizen ketika usaha mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam yang hilang di kepulauan Bali, sejak Rabu lalu itu terus menemui jalan buntu.

Nasib 53 anak kapal selam tersebut masih belum ketahui walaupun operasi kini turut melibatkan pasukan SAR dari luar negara termasuk Malaysia.

Portal berita kompas.com melaporkan, dalam video terlihat kanak-kanak itu merengek dan tidak membenarkan ayahnya keluar bilik dan dia cuba mengunci bilik tersebut.

“Kenapa enggak (tak) boleh kerja?” tanya seorang wanita yang merakam video. “Enggak boleh,” jawab kanak-kanak tersebut.

Bapa Imam Adi, mengesahkan video yang tular itu adalah anak dan cucunya.

“Iya, itu anak saya (Imam Adi) bersama cucu saya,” kata Edy Sujianto atau akrab dipanggil Abah Edy.

Dia juga mengesahkan bahawa video itu dirakam isteri Imam pada hari Imam mahu pergi bertugas di atas kapal selam KRI Nanggala-402 ada Selasa lalu.

“Yang merakam menantu saya. Saya dikirimi (dihantar) melalui WhatsApp,” katanya.

Abah Edy berkata, dia hairan melihat tingkah laku cucunya itu. Biasanya kalau bapanya mahu pergi bekerja, dia biasa-biasa, tetapi kelmarin dia sampai mahu pintu (bilik) ditutup, papanya benar-benar tidak boleh pergi,’’ katanya.

Bagaimanapun Abah Edy tidak mahu berfikir bukan-bukan apatah lagi mengaitkan gelagat cucunya dengan kejadian yang menimpa KRI Nanggala-402.

Sementara itu 72 jam yang dikatakan tempoh ketahanan bekalan oksigen kapal selam itu berakhir pukul 3 pagi tadi (pukul 4 pagi waktu Malaysia).

Ketua Pusat Penerangan TNI Mejar Jeneral Achmad Riad tidak menolak kemungkinan KRI Nanggala-402 yang membawa 53 anak kapal itu sudah dibawa arus.

‘’Pencarian sudah dilakukan secara maksimum, namun kemungkinan arus membawa semuanya ketika mengapung. Bisa (boleh) terbawa kemana sahaja artinya ke wilayah-wilayah yang diperkirakan (dijangkakan),’’ katanya.

Achmad berkata, pada masa ini pasukan SAR menumpukan perhatian kepada sembilan lokasi termasuk di kawasan tumpahan minyak ditemui dan daya magnet tinggi dikesan.

‘’Tetapi kita tidak dapat mengesan secara pasti lokasi mana kapal selam itu berada,’’ katanya.

Ketua Jabatan Penerangan Angkatan Laut TNI Laksamana Pertama, Julius Widjojono pula berkata, sehingga pagi ini lokasi di mana KRI Nanggala 402 berada belum ditemui walaupun pasukan SAR TNI mahupun agensi lain sudah mengerahkan semua peralatan dan kemampuan yang dimiliki.

‘’Kami memerlukan waktu untuk mengesan kapal itu kerana kita berhadapan dengan masalah teknikal bagi menentukan lokasinya,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, jika kapal selama tersebut berada di kedalaman lebih dari 500 meter di dasar laut ia boleh membawa bencana.

‘’Ia kerana KRI Nanggala-402 hanya memiliki kemampuan maksimum kedalaman antara 250-500 meter sahaja,’’ katanya.

No comments: