Thursday, April 29, 2021

Dahulu pekebun, kini Jalimah aktif menjual minyak kelapa dara di Kudat

 Oleh IVAN AMIRUL

JALIMAH (kanan) bersama suaminya menunjukkan produk minyak kelapa dara di Kudat baru-baru ini.

KUDAT – Siapa sangka hanya bermula dengan usaha untuk mencuba minyak kelapa dara sebagai salah satu inisiatif membantu menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi suami kira-kira 12 tahun lalu, kini Jalimah Majimil bergelar usahawan.

Langkah kanan beliau meneroka bidang tersebut telah membolehkan wanita berusia 58 tahun itu mengeluarkan produk berasaskan minyak kelapa dara di bawah jenama Bonco di daerah Kudat.

Menurut beliau, suaminya, Ronnie Onginjan, 65, mula menghidap pelbagai penyakit termasuklah gastrik, darah tinggi dan gout sejak tahun 1998.

 

Pelbagai usaha dillaksanakan untuk membantu menyembuhkan penyakit berkenaan sehingga beliau menemui minyak kelapa dara.

“Salah seorang kawan kami yang terlebih dahulu bergelar usahawan minyak kelapa dara telah memberikan sebotol produknya kepada suami untuk dicuba.

“Selepas mengamalkan minyak kelapa dara secara konsisten, tahap kesihatan suami kembali normal.

“Sejak itu, saya dan suami mengambil keputusan untuk terlibat secara serius menjual produk berasaskan minyak kelapa dara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kilang pemprosesan minyak kelapa di Kampung Kimihang di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Jalimah yang kini layak meminjam sehingga RM30,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata, pihaknya merancang untuk menghasilkan lebih banyak produk sendiri berasaskan minyak kelapa dara seperti sabun dan syampu.

Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai Sahabat AIM, Jalimah memulakan perniagaannya sejak tahun 2002 dengan kelayakan pinjaman sebanyak RM2,000. -K! ONLINE.

No comments: