MALAYSIAKINI
Manuskrip al-Quran dari Terengganu yang berusia sekitar 100 hingga 200 tahun sememangnya diketahui adalah yang tercantik di Asia Tenggara kerana keindahan dan kemewahan ragam hiasnya serta kehalusan seni penghasilannya.
Namun manuskrip yang semakin dimamah usia itu sukar untuk ditatap dengan lebih dekat atau dibelek oleh masyarakat termasuk para pengkaji kerana dikhuatiri menjejaskan keadaan naskah suci tersebut.
Sehubungan itu Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu mengambil inisiatif mendigitalkan enam manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh Muzium Negeri Terengganu, menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya.
Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud Dr Riswadi Azmi berkata masyarakat luar termasuk para pengkaji boleh berkunjung ke galeri digital yang dibangunkan pada Disember 2020 itu untuk melihat setiap helaian manuskrip digital al-Quran tersebut dengan lebih dekat dan jelas, seolah-olah seperti melihat naskah yang sebenar.
“Pembangunan galeri digital ini dibantu oleh pihak Ericsson, sebuah syarikat gergasi telco dari Sweden yang memberikan sejumlah dana. Proses pendigitalan manuskrip al-Quran ini dilakukan melalui aplikasi Terengganu Cultural Heritage yang dibangunkan oleh UMT. Ia sebagai usaha menarik golongan muda untuk lebih menghargai khazanah yang sangat bernilai ini dan supaya mereka tahu bahawa manuskrip al-Quran yang tercantik di Asia Tenggara adalah dari Terengganu.
“Proses pendigitalan melalui teknologi AR ini membolehkan setiap perincian manuskrip al-Quran dilihat dengan jelas termasuk warna-warna dan corak hiasannya serta tulisan kaligrafi ayat suci al-Quran yang ditulis dengan sangat cantik,” katanya ketika ditemui Bernama di Galeri Digital Warisan Budaya, di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, di Kuala Nerus.
Riswadi berkata pihaknya berharap suatu hari nanti galeri digital tersebut dapat mengumpul dan mendigitalkan kesemua manuskrip al-Quran Terengganu yang kini berada di seluruh Asia Tenggara.
Katanya berdasarkan rekod terdapat 27 manuskrip al-Quran Terengganu yang sebanyak lapan manuskrip disimpan Muzium Negeri Terengganu; tujuh manuskrip disimpan di muzium-muzium lain di Malaysia; lapan lagi manuskrip berada di negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand; manakala baki empat manuskrip kini dimiliki oleh orang perseorangan.
Bercerita lanjut mengenai sejarah penghasilan al-Quran, Riswadi berkata terdapat 11 kesultanan di Asia Tenggara menghasilkan naskah suci itu termasuk Terengganu, Sumatera, Sumbawa dan Acheh yang digunakan untuk tujuan pengajian dan pertabalan sultan.
“Kesultanan Terengganu menghasilkan al-Quran antara tahun 1800 hingga 1900 dan ini menggambarkan Kesultanan Terengganu sangat menjunjung tinggi kitab suci al-Quran,” katanya.
Menyentuh mengenai keunikan manuskrip al-Quran Terengganu, Riswadi berkata selain ragam hias pada halaman al-Quran dilukis dengan halus dan cantik, penggunaan emas tulen yang ditaburkan pada hiasan di dalam naskah itu menambahkan lagi keistimewaan kitab suci tersebut.
Katanya penggunaan emas tulen juga membuktikan Kesultanan Terengganu sangat menghargai al-Quran sehingga menghiasnya dengan bahan yang mewah.
Selain kilauan emas, warna-warna daripada tumbuhan semula jadi yang menghiasi manuskrip al-Quran itu sangat berkualiti tinggi dan kekal sehingga hari ini, katanya.
“Warna-warna tersebut diambil dari tumbuhan seperti warna merah dihasilkan daripada pokok senduduk, warna kuning daripada kunyit dan warna hijau daripada daun pandan.
“Malah kajian kami mendapati usia tumbuhan yang digunakan juga memainkan peranan penting untuk memastikan warna yang dihasilkan tahan lama. Kalau kita buka manuskrip tersebut kita akan lihat warnanya masih terang dan tidak sedikit pun pudar,” katanya.
Selain itu katanya tulisan kaligrafi dalam manuskrip al-Quran Terengganu juga dihasilkan dengan sangat teliti dan dikatakan antara penulisan al-Quran yang tercantik di Asia Tenggara.
“Ini menunjukkan terdapat penulis kaligrafi dalam kalangan masyarakat Terengganu pada waktu itu yang sangat mahir dan berseni kerana kita tahu menulis al-Quran bukanlah satu kerja yang mudah. Tiada satu pun kesalahan pada setiap huruf dan ayat di dalam manuskrip al-Quran Terengganu bermula dari surah al-Fatihah sehingga ke surah an-Nas,” katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment