Kemasukan murid ke sekolah khusus, asrama akan dibuat menerusi PKSK.
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid darjah enam dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini dibatalkan, kata Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Radzi Jidin.
Beliau berkata, keputusan itu dibentangkan kepada jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.
“Sejak pembatalan UPSR tahun lalu, KPM membuat penelitian tentang kaedah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah rendah di negara lain, khususnya negara yang mempunyai amalan pendidikan terbaik.
“Kita akan perkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai 2021. Kemasukan murid-murid tahun enam ke asrama untuk tahun depan akan dilakukan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK),” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Radzi juga memaklumkan, tiada peperiksaan ganti akan dibuat untuk murid tahun enam.
Selaras dengan pemansuhan UPSR, beliau berkata, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) untuk murid-murid berkeperluan khas turut dimansuhkan sepenuhnya.
Katanya, keputusan pemansuhan UPSR diambil setelah mengambil pandangan pelbagai pihak dalam sesi libat urus, antaranya guru besar, guru, ibu bapa, kesatuan dan persatuan, serta murid-murid sendiri.
Menurut Radzi, antara pandangan yang diterima KPM ialah UPSR mengakibatkan para guru “mencuri” masa subjek-subjek yang tiada dalam UPSR untuk persiapan subjek-subjek UPSR.
“Banyak masa di sekolah ditumpu kepada mata pelajaran dalam peperiksaan. Apa yang berlaku di sekolah ialah guru kebiasaan akan cuba menghabiskan silibus secepat mungkin bagi melaksanakan latih tubi.
“Guru juga mahu ruang untuk menggunakan kreativiti untuk mengajar pelbagai mata pelajaran supaya murid dapat berada dalam suasana pendidikan yang menyeronokkan,” katanya.
Selain itu, katanya, murid juga melaporkan berada dalam keadaan tertekan untuk menghadapi UPSR, apabila sudah dihantar ke pusat-pusat tuisyen seawal darjah satu.
“Bila kita tanya kenapa hendak duduki UPSR, murid menjawab sebab nak asrama penuh. Namun begitu, apabila kita laksanakan PKSK untuk murid tahun enam ke sekolah khusus, kita lihat hanya satu per empat daripada keseluruhan murid tahun enam mengambil PKSK,” katanya.
Radzi berkata, bagi PT3, kementerian mengambil pertimbangan sama seperti tahun lalu, namun konsep pentaksiran kekal dan sistem pentaksiran kebangsaan.
“Antara asas utama yang kita pertimbangkan dalam membuat keputusan membatalkan PT3 adalah mengambil kira masa yang ada bagi murid-murid kita membuat persiapan khusus secara bersemuka bersama guru di sekolah.
“Jika kita lihat, keadaan penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya,” katanya.
Katanya, kaedah pentaksiran pelajar masih boleh dilaksanakan meskipun PT3 dibatalkan tahun ini iaitu menerusi PBD, Pentaksiran Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
Katanya, pelajar tingkatan tiga juga boleh menduduki PKSK bagi membolehkan mereka memasuki sekolah berasrama.
UPSR diperkenalkan pada 1988 untuk melihat penguasaan murid darjah enam dalam tiga komponen iaitu membaca, menulis dan mengira sebelum ditambah satu lagi komponen iaitu menaakul.
Pada 2016, UPSR ditambah baik dengan PBS.
PT3 diperkenalkan pada 1993 sebagai menggantikan Penilaian Menengah Rendah untuk pelajar tingkatan tiga, yang menumpukan aspek kognitif dan akademik.
No comments:
Post a Comment