Sunday, April 25, 2021

Peraturan lebih ketat bagi pengembara yang masuk ke negara ini

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan telah menetapkan beberapa peraturan ke atas pengembara yang baru tiba dari luar negara sebagai langkah berjaya-jaga bagi mengelak penularan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertama, pengembara perlu menjalani ujian calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh berlepas dan dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin.

“Tempoh kuarantin pula akan dipanjangkan daripada 10 hari kepada 14 hari dan pengembara yang baru tiba di negara ini wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, melalui SOP yang ditetapkan, mereka perlu memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dalam telefon bimbit sebelum tiba di negara ini termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar kod QR.

“Semasa ketibaan pengembara di pintu masuk antarabangsa (PMA), mereka perlu melalui saringan demam dan gejala termasuk perlu memantau status kesihatan kendiri selama 14 hari dari tarikh ketibaan.

“Sekiranya bergejala, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan untuk penilaian selanjutnya dan perlu kekal tinggal dalam stesen kuarantin dan tidak keluar bilik,” ujarnya.

Pada masa sama, tegasnya, pengembara yang memasuki negara ini juga wajib mematuhi SOP, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia pada setiap masa.

“Mereka perlu menjalani ujian calitan sampel kedua bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 pada hari ke-10 semasa dalam tempoh kuarantin,” ujarnya. – K! ONLINE

No comments: