Saturday, April 24, 2021

Hamid Bador diganti minggu depan?

AGENDA DAILY

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dijangka mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Abdul Hamid Bador, minggu depan.

Kerajaan mungkin tidak menyambung kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan tamat pada 3 Mei 2021 ini, kata sumber kepada Agenda Daily.

Beliau juga dijangka memohon bercuti lebih awal minggu depan.

Agenda Daily difahamkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, akan memangku jawatan Ketua Polis Negara sebelum pelantikan penuh dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Hamid, dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Antara jawatan pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak; Ketua Cawangan Khas Negeri; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar; Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1; dan Pengarah Cawangan Khas sejak 23 Mei 2018.

Beliau menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang didakwa menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan telus ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, iaitu bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh.

Baru-baru ini, tular satu mesej kononnya campur tangan politik membabitkan menteri Kabinet menyebabkan arahan pertukaran pegawai polis oleh Abdul Hamid ditangguhkan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan beliau campur tangan menangguhkan arahan pertukaran itu.

Sementara, Acryl Sani pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2020, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anak kelahiran Petaling Jaya itu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis.

Acryl Sani, 60 tahun, antara lain berpengalaman menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

No comments: