Saturday, April 24, 2021

22 ‘gengster’ dicekup

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Tangkap layar video memaparkan berlaku pergaduhan melibatkan Geng 21 Sunder di sebuah premis.

PETALING JAYA – Angkara terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai jenayah kekerasan, ketua ‘Geng 18 Datuk Suresh’ dan dan ketua ‘Geng 21 Sunder’ diberkas polis menerusi Op Cantas ‘Sinecura’, kelmarin.

Selain dua ketua geng, 20 lagi individu turut dicekup masing-masing 11 orang dari ‘Geng 18 Datuk Suresh’ dan sembilan lagi dari ‘Geng 21 Sunder’ yang berumur dalam lingkungan 35 hingga 48 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan yang bergiat aktif di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang, Selangor itu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Menurutnya, kumpulan tersebut didapati terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai satu hingga sembilan rekod kesalahan jenayah lampau (majoritinya mempunyai antara tiga hingga lima rekod kesalahan).

“Antara kes tersebut adalah seperti mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan kes dijalankan di bawah Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Jelasnya, operasi memberkas suspek dijalankan susulan tular sebuah video pada 25 November 2020 memaparkan sekumpulan 18 lelaki (Geng Datuk Suresh) merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields, Kuala Lumpur.

“Dalam kejadian itu, seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan telah dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan tersebut,” ujarnya.- K! ONLINE

No comments: