Sunday, April 25, 2021

14 individu sedang berhibur dikompaun langgar SOP

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Keseronokan sekumpulan individu yang sedang berhibur di sebuah bilik karaoke yang beroperasi di sebalik kedai makan di Taman OUG Parklane, Kuala Lumpur terhenti apabila premis itu diserbu polis dari Balai Polis Petaling, malam tadi.

Menerusi serbuan itu, tujuh lelaki tempatan masing-masing enam pelanggan dan seorang penjaga premis berumur 34 tahun dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lima wanita Vietnam berumur antara 28 hingga 32 tahun yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat sebuah bilik rahsia di sebalik kedai makan berkenaan yang dijadikan tempat untuk berhibur dan berkaraoke.

“Ketika serbuan sekitar pukul 9.45 malam, kedengaran muzik dimainkan dengan kuat dari bahagian belakang premis dan pintu telah dibuka oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tersebut mendapati seramai enam lelaki dan lima wanita sedang berhibur,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati premis itu mempunyai lesen perniagaan restoran atau kedai makan yang masih sah sehingga 20 Oktober 2021.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah kedai makan di Jalan 3/149e, Taman Sri Endah, Sri Petaling, tujuh lagi individu dikenakan kompaun kerana turut melanggar SOP PKPB.

Katanya, kesemua tangkapan warga asing itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari sehingga 07 Mei depan untuk semakan ketulenan dan tempoh sah pasport kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kes ini disiasat atas pelbagai kesalahan jenayah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – K! ONLINE

No comments: