Saturday, January 23, 2021

Semua pelajar perlu ikuti Program Transisi selama 43 hari - KPM

Bernama
Semua pelajar perlu ikuti Program Transisi selama 43 hari - KPM
Dr Habibah berkata, Program Transisi dibuat susulan murid-murid tidak 
dapat menjalani tempoh pembelajaran yang sepatutnya tahun lalu disebabkan 
PKP. - Gambar/ Bernama
 
PUTRAJAYA: Program Transisi akan dilaksanakan tahun ini untuk melihat kesediaan murid dan mempersiapkan mereka melangkah ke tahap seterusnya, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.
 
Beliau berkata program itu dirangka memandangkan pada tahun lepas, murid-murid tidak dapat menjalani tempoh pembelajaran yang sepatutnya di sekolah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Pelaksanaan program itu melibatkan semua murid di sekolah rendah dan menengah selama 43 hari dan dibuat mengikut kaedah yang difikirkan bersesuaian oleh guru yang terlibat, katanya pada sidang media dalam talian hari ini berhubung pengoperasian sekolah 2021.
 
"Kalau kita lihat pada tahun lepas, berapa hari sahaja mereka berada di sekolah, jadi tentunya kementerian bimbang mungkin terdapat perbezaan dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu berlaku di rumah termasuk mengambil kira perbezaan dari segi akses kepada pembelajaran, maka kita cadangkan program transisi ini.
 
"Jika terdapat jurang pembelajaran pada murid prasekolah dan pada tahun ini mereka naik ke tahun satu, jadi bagaimana kita nak persiapkan mereka dari segi kesediaan sebelum mengikuti pembelajaran di tahun satu," katanya.
 
Mengenai pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Habibah berkata tahun ini ia akan dipantau dengan lebih terperinci berbanding tahun lepas bagi membantu guru dan pihak sekolah memperbaiki kaedah yang digunakan dari semasa ke semasa.
 
"Jika dulu kita cuma melihat berapa orang guru yang melakukan PdPR dan berapa murid yang terlibat, tetapi sekarang kita nak lihat mata pelajaran apa, di tahun apa atau peringkat mana dan jika guru melakukan PdPR dalam talian berapa lama dan berapa peratus murid yang hadir pada sesi itu," katanya.
 
Dalam pada itu, Habibah berkata hari pertama persekolahan pada Rabu lepas mencatatkan kehadiran yang menggalakkan iaitu 95 peratus, membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.
 
Peratusan tersebut lebih tinggi berbanding pembukaan semula sekolah pada Julai tahun lepas semasa tempoh PKP Pemulihan iaitu kira-kira 91 ke 92 peratus, katanya.
 
Mengenai siaran TV pendidikan, Habibah berkata buat masa ini TV Pendidikan melibatkan saluran Okey TV, Astro dan NTV7 bersiaran selama sembilan jam sehari dari Isnin hingga Jumaat.
 
"Kita juga sedang merancang dengan pihak lain untuk menambah lagi waktu siaran TV Pendidikan ini kerana ia adalah satu pendekatan yang dapat sampai kepada murid kerana lebih 90 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai televisyen maka capaian pastinya lebih meluas," katanya.-- BERNAMA

No comments: