Bernama
Berdasarkan aduan diterima, 874 ekor babi hutan telah dilupuskan pada
tahun lalu berbanding 521 pada tahun 2019. - Gambar hiasan
PARIT BUNTAR:
Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan dengan memasang
jerat bagi mengatasi masalah ancaman babi hutan kerana akan menyebabkan
haiwan liar itu menjadi ganas.
Pengarah
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak
Yusoff Shariff berkata sesiapa yang mengesan kehadiran babi hutan di
sesuatu kawasan perlu membuat aduan kepada pihaknya untuk tindakan
lanjut.
"Saya
berharap orang ramai jangan memasang jerat tetapi hendaklah membuat
laporan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut kerana khuatir
terhadap keselamatan orang ramai sekiranya jerat yang dipasang itu
menyebabkan kecederaan kepada babi hutan sehingga membuatkan haiwan itu
bertindak ganas," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Beliau
berkata pihaknya telah melakukan operasi menembak mati dan memasang
perangkap bagi mengatasi masalah ancaman haiwan liar itu dan berdasarkan
aduan diterima, 874 ekor babi hutan telah dilupuskan pada tahun lalu
berbanding 521 pada tahun 2019.
Yusoff
diminta mengulas berhubung kejadian seorang petani yang cedera diserang
seekor babi hutan ketika sedang menunggang motosikal dalam perjalanan
pulang ke rumahnya di Kampung Batu 10, Jalan Pantai, Tanjung Piandang
pada Isnin lalu.
Beliau turut meminta
orang ramai supaya menguruskan pembuangan sampah dan sisa makanan dengan
baik termasuk membersihkan semak-samun dan hutan belukar bagi
mengelakkan pembiakan haiwan liar itu.
Dalam
kejadian itu, mangsa Mohd Ramli Putih, 49, mengalami kecederaan pada
lengan dan bahu kanan akibat disondol oleh seekor babi hutan yang cedera
dipercayai terkena perangkap berikutan terdapat tali yang terikat pada
kakinya.
Mohd Ramli ketika ditemui
pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Bahagian Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Buntar Md Nayan Salleh semalam berkata
beliau masih trauma dan tidak dapat melakukan kerja berat akibat
kejadian itu.
Menceritakan
kejadian kira-kira 11 pagi itu, Mohd Ramli berkata babi hutan itu
secara tiba-tiba datang dari arah sawah padi dan merempuh motosikal
dinaikinya semasa dalam perjalanan ke rumah selepas membeli sekampit
simen di Pekan Tanjung Piandang.
"Saya
kemudian terjatuh bersama motosikal dan ketika cuba untuk bangun, babi
hutan itu sekali lagi menyondol belakang badan saya dan menyebabkan saya
terhempas kali kedua di atas jalan.
"Tanpa
menghiraukan kesakitan yang dialami, saya bangun dan memberanikan diri
untuk menendang babi itu yang cuba menyerang saya lagi sehingga ia
terjatuh ke dalam longkang sawah," katanya.
Katanya
beliau kemudian pulang ke rumah yang terletak kira-kira 300 meter dari
lokasi kejadian dan mengambil sebatang besi untuk memukul babi hutan itu
sehingga mati kerana bimbang ia mencederakan orang lain di kawasan
tersebut.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment