Friday, June 5, 2020

Tokan dadah 'Mat Kie' ditangkap di Langkawi

Tokan dadah 'Mat Kie' ditangkap di Langkawi
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

LANGKAWI: Setelah sekian lama menjejaki pengedar dadah yang terkenal dengan gelaran Mat Kie, polis berjaya menangkapnya di bangunan bilik sewa di Kampung Darat Benta dekat Kedawang, Langkawi, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi menyerbu bangunan terbabit pada jam 3.51 pagi.

Katanya, polis turut menemui sebuah beg galas dan beg kecil berzip mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 17.25 gram.

"Polis juga menemui tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 13.75 gram di dalam beg yang sama, selain wang tunai RM10,600 dipercayai hasil jualan dadah," katanya pada Jumaat.

Jelas Mohd Iqbal, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

No comments: