ALOR SETAR: Cadangan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd
Amar Nik Abdullah supaya Pakatan Harapan tidak menghantar wakil
bertanding pada PRK N.23 Chini adalah pandangan ikhlas dalam konteks
semasa dan situasi pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) kini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan
Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, hal tersebut terserah kepada
pihak berkenaan kerana ianya menjadi hak parti politik dalam negara
demokrasi untuk tetap mengadakan pencalonan dan bertanding pada PRK
tersebut yang akan bermula prosesnya minggu depan.
“Memang kita
akui bahawa waktu PKPB ini, pilihan raya yang dibuat pun terpaksa
dikawal kempen dan sebagainya. Kalau tidak ada pertandingan, saya fikir
itu lebih baik. Tapi dalam sistem demokrasi terbuka, kita tidak boleh
menghalang mana-mana parti untuk menghantar calon.
“Cuma
situasinya kita tahu, kalau pun pilihan raya dibuat, dan bagaimana
kempen nak berjalan, macam mana proses pengundian terpaksa dijaga SOP
PKPB ini,” ujar beliau menjawab soalan media selepas sesi libat urus
antara Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan Kerajaan Negeri Kedah di
Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Beliau turut mengakui
pandangan wartawan bahawa keputusan pilihan raya lalu secara atas kertas
memberi kelebihan angka kepada undi bersama diperolehi pihak PAS dan
Umno berbanding PH yang hilang deposit ketika bertanding di kerusi
tersebut.
“Memang kalau kami tengok nampaklah (angka undi). Tapi
saya rasa dia (PH) tengok ‘takut tak nampak’. Orang politik ini matanya
lain-lain,” ujarnya cuba mengajak pihak berkenaan untuk lebih kritikal
menaakul kedudukan tersebut.
“Utamakan kepentingan rakyat dalam situasi COVID ini daripada duduk kecamuk dalam soal politik. Dan saya alu-alukan Titah Tuanku Agong sewaktu merasmikan Parlimen baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment