Wednesday, June 3, 2020

Bersatu tidak teguh… bercerai, Anwar roboh

MOHD NASIR ABDULLAH

PANAS kembali politik tanah air dengan isu merampas semula takhta Kerajaan dan sekali gus juga mengheret isu siapa akan menjadi PM. Sejurus habis Ramadan, belum selesai orang menyempurnakan puasa enam hari Syawal, gegaran mahu mengambil kembali tampuk pemerintahan Malaysia, dikocakkan oleh Tun Mahathir.

Kelihatan dari luar, BERSATU berkelahi dengan agak parah. Masing-masing memecat sesama mereka.

Aku pecat engkau, engkau pecat aku. Ada yang melawak dengan mengatakan BERSATU sudah menjadi ‘Berlima’ kerana berpecah dengan lima watak utama mereka telah didakwa sebagai terlucut keahlian dengan sendiri kerana mereka duduk dalam blok pembangkang ketika sidang Parlimen baru-baru ini.

Tidak pasti pula bagaimana dengan beberapa ADUN BERSATU yang lain, yang menolak Kerajaan PN pada peringkat negeri masing-masing. Agaknya terlucut jugalah kan? Mengambil misalan yang terjadi kepada lima panglima mereka itu. Biarkanlah perundangan mereka yang menentukannya. Dahulu Pendaftar Pertubuhan (ROS) pernah mengambil tindakan ke atas BERSATU. Tetapi lepas PH menang, ia dibebaskan.

Orang ramai menjadi kecoh apabila bertiup pula kisah adanya angka yang banyak iaitu Ahli Parlimen yang menyokong PH sudah melebihi majoriti mudah. Maka semboyan lagak mengisytihar kemenangan pun ditiup oleh blogger PH yang sangat setia dengan Anwar. Konon tilik Tok Nujum mereka, Kerajaan akan bertukar tangan kerana bilangan sudah ada, hanya masa menentukan peralihan itu. Sangat dekat.

Dalam zaman yang serba canggih ini, hanya penyokong PH sahaja yang akan percaya bulat-bulat apa yang ditulis oleh blogger-blogger pro-PH. Tidak sedikit hantaran-hantaran di Facebook, menguar-uarkan akan rancangan bagi menabalkan memanda Menteri yang baharu. Mereka saling berbalas mesej, menzahirkan kegembiraan. Jika dahulu PH diunjing orang, rakyat Kedah sambut raya tukar MB, nah sekarang giliran mereka pula, lepas raya, rakyat Malaysia tukar PM.

Manakala bagi manusia yang mempunyai akal cukup sifat, pastinya tersenyum membaca tulisan mereka itu. Kewarasan bagi menapis perkataan merapu orang yang gila talak terhadap jandanya, adalah suatu keperluan asas untuk manusia yang bijak, bukan menelan semua perkataan si gila talak itu. Mungkin dari 10 perkataan mereka, 11 yang tidak boleh dipercayai.

Harapan masih ada apabila Tun pula seperti mahu membawa Ahli Parlimen BERSATU kembali menyokong PH. Konon PN kegelisahan kerana gerakan si tua itu, amat merbahaya. Sejarah telah memahatkan, di tangan beliaulah telah tumbang ramai PM Malaysia. Gayanya cukup ampuh, licik dan bersahaja. Sehingga kini, masih tiada tandingan. Kegilaan rancangannya, boleh mengejutkan lawan.

Tapi ia sepi, tiada apa-apa yang boleh dibanggakan dari gerakan itu bagi menjatuhkan Kerajaan PN.

Tiba-tiba goncangan menjadi semakin kuat, ada Menteri akan meletak jawatan khabar mereka. Siapa dia? Sungguh cemas kerana pada sebelah petang dua hari lalu, dimaklumkan akan ada pengumuman oleh sekumpulan Menteri Kerajaan PN. Ada netizen menjadi tidak keruan, jatuhkah PN? Sebahagian netizen pula menjadi amat gembira, nyata benar ramalan nujum mereka, PH akan kembali ke tampuk kuasa negara. Kelihatannya pintu belakang sudah ditutup rapat, atap juga sudah dibaiki.

Sungguh Menteri itu dan rakan-rakannya benar-benar mengecewakan penyokong PH. Belum lupa orang dengan idea kereta terbangnya, dibawa pula dalam sidang media itu, cerita benar mengenai rancangan Tunlah yang sebenarnya mahukan PH kalah. Maka makian pun berlegar, khusus kepada Menteri itu dan rakan-rakannya. Penyokong PH berduka lagi.

Pada waktu yang sama, pemerhati politik, menonton drama ini dengan tenang. Bagaimana mereka masih boleh bertenang dalam keadaan mendesak sebegini? Pemerhati politik tanah air mempunyai tanda aras yang utama bagi melihat sejauh manakah gerakan ini hanya lakonan atau sememangnya benar yang PH akan merampas kembali kuasa dengan cara sebegini.

Apakah tanda arasnya? Anwar… Ya respon Anwar. Semenjak habis Sidang Parlimen, beliau tidak lagi kelihatan bersama Tun Mahathir. Pada sidang media selepas pembukaan Parlimen, beliau tidak hadir bersama Tun, malah Ahli Parlimen PKR juga tidak datang. Kemudiannya, apabila ada cerita jumlah Ahli Parlimen yang mahu melompat sudah cukup, beliau hanya mendiamkan diri. Tidak galak berkomentar.

Berbeza dahulu ketika mahu merampas Kerajaan pada 16 September, bagaimana gerak tari Anwar. Setiap hari, setiap waktu, akan ada ugutan melompat. Hinggakan Najib terpaksa membawa Ahli Parlimennya ke Taiwan. Masih ingatkah wajah gembira beliau ketika menyambut ADUN Bota, Perak sewaktu melompat masuk PKR, bagi mengukuhkan Perak? Senyuman manis terukir di wajahnya ketika mana keluar dari Istana Negara, mendakwa beliau mempunyai cukup sokongan sewaktu Tun meletakkan jawatan tempoh hari?

Namun kini, wajahnya tidak bermaya, sugul, walaupun Tun dilihat sedang berkerja keras mahu merampas kembali kerajaan. Sudah tawar sungguh hatinya untuk mempercayai Tun. Dirasakan benar-benar dipermainkan, diperbodohkan dan diperkotak-katikkan oleh Tun dan rakan-rakannya, walaupun beliau dikata hebat dalam berpolitik. Jika benar Tun mahu membantunya, maka pastinya beliau adalah individu yang paling gembira, kerana mempunyai peluang kembali menjadi PM. Sekurang-kurangnya Bakal PM-9.

Bukankah begitu logiknya? Jadi bagi saya, hampir pasti keyakinan bahawa lakonan kegoyangan dalaman BERSATU dan Tun hanya mahu meranapkan impian Anwar. Apabila PH bercerai, maka robohlah angan-angan Anwar menjadi PM. Kali ini, DAP tidak berdaya untuk membantu impian ‘amal makruf’ Anwar bagi membina negara yang lebih Islamik dan meng’nahi’ ‘munkar’kan rancangan nakal Tun Mahathir itu. PAN apatah lagi, jika DAP tidak mampu, manakan bisa mereka membantu.

Jadilah mereka ibarat orang yang mendengar guruh di langit, langsung dibuang air dalam tempayan, dibasuh segala lumut-lumut dalam tempayan konon untuk diisi air yang baharu. Rupanya bukan guruh, tetapi orang sedang menyusun kerusi meja yang banyak, riuh rendah bunyinya saling tak tumpah seperti guruh. Termenung mereka di tangga, air sudah tiada dibuang, hanya kerana percaya kepada bunyi.

Singa, harimau adalah binatang yang diiktiraf sebagai raja di padang savanah dan juga di rimba. Garang mereka dimaklumi semua; menerkam, membaham dan memamah mangsa tanpa belas. Gajah juga ganas bila mengamuk, walaupun tidak menerkam. Namun di sebalik keganasan mereka itu, berbanding serigala, hanya serigala yang tidak pernah dibawa masuk ke dalam pasukan sarkis sebagai binatang yang dibodohkan untuk membuat pertunjukkan. Tetapi serigala diyakini dalam kerja membantu kebaikan.

Siapa singa, siapa harimau, yang dipermainkan itu, entahlah. Tetapi gajah kita tahu siapa sebab ‘elephant fights with elephant’. Mereka dijadikan binatang pertunjukkan sarkis kerana diperangkap oleh si tua penjinak dan pelatih binatang itu. Serigala yang cerdik itu hanya memerhatikan dari jauh. Sudah dia berpesan dahulu, jangan percaya kepada si tua itu kerana liciknya dia. Serigala, kita tahu mereka hidup secara berjamaah, tidak boleh seekor. Mungkin sebab berjamaah itu, menghalang mereka di’sarkis’kan.

Saat ini, saya terkenang si katak. Jika katak ada diberikan watak dalam drama politik terbaharu ini, mungkin dia akan kekal teguh dengan prinsipnya. Bukan prinsip bersetia, tetapi prinsip berterusan melompat, mencari keuntungan. Oleh kerana itu, katak juga tidak pernah akan dibawa masuk ke dalam sarkis kerana tidak boleh diharap atau dipercaya untuk menurut kata tuannya.HARAKAHDAILY


No comments: