Thursday, November 21, 2019

Kementah tiada hasrat beli jet pejuang baru





KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Kementah) tiada rancangan untuk membeli pesawat pejuang baru, kata Menteri Mohamad Sabu, mengenai tawaran Rusia mengambil balik 28 pesawat pejuang Su-30MKM dan pesawat tempur MiG-29 dan menggantikannya dengan pesawat baru.

Kementah bagaimanapun meneliti tawaran pesawat baru dari Rusia, dan buat masa ini masih menggunakan Su-30MKM yang dibeli dari negara itu sebelum ini.

“Kementah lebih menumpukan kepada aset pertahanan bercirikan kawalan dan rondaan sempadan maritim bagi menghalang pencerobohan asing,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan penumpuan itu sebahagian daripada Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia 2055 (CAP55) yang menggariskan “perancangan menyeluruh” pembangunan keupayaan tentera udara sehingga 2055.

CAP55 merangkumi perolehan aset baru, penggantian pesawat usang dan naik taraf aset secara realistik dan berdasarkan keutamaan semasa “yang berfokuskan kepada pengurangan jenis pesawat, menangani isu keusangan, dan peningkatan kos selenggaraan”.

Ini bermakna Malaysia akan terus mengekalkan Su-30MKM dan pesawat tempur F/A-18D untuk 10 tahun lagi sehingga 2020, iaitu untuk tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

“Keperluan terkini adalah perolehan Maritime Patrol Aircraft (pesawat peronda maritim) dan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial Vehicle (pesawat udara tanpa pemandu altitud sederhana ketahanan lama), serta keupayaan tempur ringan dan latihan juruterbang melalui perolehan Light Combat Aircraft (pesawat tempur ringan),” katanya.

Mohamad menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan bersedia menerima tawaran Rusia untuk mengambil balik Su-30MKM dan MiG-29 yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baru buatannya.

Kementah juga meneliti tawaran daripada negara lain, katanya.

“Antara perkara yang kita titik beratkanialah kemudahan mendapatkan alat ganti untuk selenggaraan,” katanya, dan menambah kos menyelenggara Su-30MKM berjumlah RM200 juta setahun.Sementara itu, Mohamad memaklumkan kertas putih melibatkan kementerian itu akan turut dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

“Mana yang baik dilakukan kerajaan terdahulu kita teruskan dan tambah baik mengikut pemodenan semasa, contohnya penggunaan dron itu antara tumpuan kertas tersebut bagi penyediaan peralatan baru dalam pertahanan negara.

“Sebab sekarang ini jet-jet mahal, kadang-kadang perlu tapi kadang kala dron yang lebih murah kosnya boleh jalankan tugas seimbang dengan jet yang begitu hebat,” katanya.

No comments: