Kementerian tidak mahu ganggu bidang kuasa PBT
BANGI
– Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai perancangan untuk
menggubal akta, bagi melarang orang ramai daripada meminum arak dan
minuman beralkohol di tempat terbuka, kata Timbalan Menteri Kesihatan,
Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, kementerian itu tidak
mahu mengganggu bidang kuasa pihak lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) yang sekarang mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan meminum
arak secara terbuka di sesetengah tempat.
Menurutnya, kementerian hanya
bertanggungjawab mengawal jenis kandungan alkohol serta peratusan
kandungan alkohol dalam minuman keras sebagai antara syarat sebelum
produk itu dibenarkan dijual di negara ini.
“Ia jelas di bawah kuasa PBT. Kementerian
Kesihatan tidak akan mengganggu kuasa ini,” katanya pada sidang media
selepas merasmikan Persidangan Persatuan Asia Pasifik untuk Penyelidikan
Alkohol dan Ketagihan (APSAAR) di sini, hari ini.
Beberapa pihak antaranya Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), menggesa kerajaan mewujudkan
undang-undang khas atau menguatkuasakan larangan meminum arak di tempat
tertentu atau secara terbuka antaranya bagi menangani peningkatan
masalah sosial akibat daripada minuman keras.
Dalam pada itu, Dr Lee berkata,
kementerian belum menerima permohonan daripada mana-mana pegawai awam
atau badan berkanun untuk menanam ketum susulan kebenaran yang diumumkan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat pada
Isnin lepas.
Beliau berkata, kebenaran itu hanya
diberikan bagi penanaman oleh pihak tersebut untuk tujuan penyelidikan,
pendidikan dan perubatan.
Dr Dzulkefly dilaporkan berkata,
penanaman ketum dibenarkan bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan
perubatan oleh mana-mana pegawai awam atau pegawai daripada badan
berkanun berdasarkan terma dan syarat tertentu serta surat kebenaran
daripada Menteri Kesihatan.
Sementara itu, Dr Lee dalam ucapannya
berkata sejak pelaksanaan Medication Assisted Therapy (MAT) atau terapi
dengan bantuan ubat pada 2005, Malaysia kini mempunyai lebih 500 klinik
atau pusat sama ada oleh kerajaan atau swasta yang diwujudkan bagi
menyediakan perkhidmatan berkenaan.
Program itu beliau berkata, didapati
berkesan dalam peningkatan kualiti hidup terutama dari segi pekerjaan,
status kesihatan dan fungsi sosial bagi kes-kes tersebut.
“Terdapat juga pengurangan yang luar
biasa dalam HIV, Hepatitis B dan C dan juga pengurangan dalam jenayah,
tahanan, penggunaan dadah dan risiko HIV. Penagih dadah juga tidak lagi
menjadi beban sosial dan boleh menyumbang kepada masyarakat melalui
pekerjaan yang bermanfaat,” katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment