Friday, July 5, 2019

Polis beri amaran kepada Badar

ISMA WEB

Pertubuhan sukarela basmi maksiat tiada kuasa ambil tindakan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Skuad Badar dinasihatkan agar tidak bertindak dalam apa jua cara bertentangan dengan undang-undang negara, kerana mereka bukan badan penguat kuasa agama yang sah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.

“Perlu ditegaskan bahawa mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Skuad Badar, Ustaz Azhar Mohamad, kelmarin yang menjelaskan skuad itu bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.

Memetik laporan Bernama, Azhar dilaporkan berkata, gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini semakin membimbangkan.

Januari lalu, Ustaz Azhar ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Beliau ditahan bersama seorang lagi ahli NGO, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda selama empat hari.

Penahanan kedua-dua mereka dipercayai susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadapnya yang dikatakan menjalankan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran jabatan itu.

Skuad itu juga difahamkan tidak pernah dilantik menjadi penguat kuasa agama yang sah.

Selain itu, menurut laporan JHEAIK, skuad itu tidak pernah diberikan tauliah ataupun dibenarkan memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.


No comments: