Monday, July 29, 2019

Sedarlah bukan Islam, MIC dan MCA khususnya…

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Maksud dakwah bukan Islamkan mereka tapi tunjuk kebaikan Islam

SAYA hampir menitiskan air mata, apabila Tan Sri Vigneswaran, Presiden MIC dalam konvensyen tahunan MIC minggu lalu berkata, imej “radikal” yang selama ini dilabelkan kepada PAS oleh pengkritik-pengkritik parti itu adalah satu dakwaan yang tidak benar.

Nasihat beliau kepada pemimpin tertinggi MIC supaya berusaha meyakinkan anggotanya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan dalam perkembangan UMNO yang akan memeterai kerjasama rasmi dengan PAS.

Vigneswaran yang juga Yang DiPertua, Dewan Negara turut menjelaskan bahawa MIC mempunyai sejarah yang panjang dalam memahami dan menjalinkan kerjasama dengan orang Melayu dari UMNO. Hari ini, sudah tiba masanya untuk MIC mengambil sikap serupa terhadap PAS.

Sebak rasanya bila Vigneswaran turut berkata, sebagai ketua kaum India, keputusan ini perlu dibuat. Jika bangsa saya mahu hidup secara aman di negara ini, kita kena bekerja dengan PAS. Bukan untuk kebaikan saya, tetapi untuk kebaikan bangsa ini di tahun-tahun akan datang.

Keadaan menjadi semakin terharu, apabila Ketua Pemuda MIC menghulur tangan dengan berkata, “Saya nak jemput, Pemuda PAS kalau nak bekerjasama, bukan semata-mata dengan Pemuda UMNO, kalau nak bekerja dengan akar umbi Pemuda MIC pun kita alu-alukan, asalkan kita saling menghormati hak dan perbezaan kita masing-masing,”.

Membaca laporan konvensyen ini saya menggeleng-geleng kepala, MasyaAllah, inilah peluang dakwah yang begitu besar yang perlu disambut sepenuhnya oleh PAS (UMNO). Maksud dakwah, bukan mengIslamkan mereka, tetapi menunjukkan kebaikan Islam. Terpulanglah jika mahu kepada Islam atau tidak. Begitu juga agama lain, jika mahu menunjukkan kebaikan yang sama. Silakan… Pokoknya, perlu ada saling hormat menghormati dalam menguruskan perbezaan.

Percayalah wahai MIC (juga MCA) khusus dan orang India (Cina) umumnya, setakat yang saya tahu, Islam yang menjadi teras perjuangan PAS tidak akan menganiaya atau meminggirkan bukan Islam. Jika PAS atau UMNO melakukan sedemikian, bermakna, mereka telah terkeluar daripada landasan Islam yang sebenar. PAS dan UMNO tidak akan bertahan lama hingga hari ini jika bertindak zalim kepada bukan Islam.

Jika tidak percaya, datanglah ke Kelantan dan Terengganu. Lihatlah bagaimana minoriti Cina, Siam dan India dilayan dengan baik oleh PAS. Patung-patung Buddha, lebih tinggi daripada menara masjid dan surau.

Walaupun pada saya, mereka (bukan Islam) tidak layak mendapatkan kenikmatan sedemikian rupa dengan bilangan yang sangat kecil. Tetapi itulah hakikat Islam yang telah terpancar di Kelantan, termasuk Terengganu. Bandar Cina (China Town) tidak ada siapa pun yang usik di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Mereka boleh beramal dengan bebas mengikut budaya bangsa, selagi tidak mengganggu orang Islam.

Begitu juga dengan taburan penduduk mengikut kawasan pilihan raya sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, orang India, tidak ada satu tempat pun mereka menjadi majoriti. Tetapi tetap diberi tempat untuk bertanding dan menang. Kuota menteri, timbalan menteri sentisa menunggu. Siapa yang berikan kemenangan itu, jika bukan orang Melayu Islam.

Dalam maksud, keadilan itu bukan seorang sebiji, bukan fair and square, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika keadilan seorang sebiji, fair and square, sudah tentu minoriti bukan Islam tidak layak mendapatkannya kerana bilangan mereka sedikit.

Jika tidak percaya, tanyalah Presiden Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam. Saya amat mengenali beliau.

Bagaimana Islam boleh berkembang jika memusuhi dan membenci bukan Islam? Bukankah Islam berkembang kerana bukan Islam memeluk agama Islam?

Sejarah membuktikan bukan Islam boleh hidup senang lenang dan tidur lena dalam negara Islam. Berbanding dengan umat Islam yang berada di negara bukan Islam. Lihatlah apa yang berlaku di negara jiran, Filipina dan Thailand. Bandingkan dengan umat Islam di China dan di India juga.

Hari ini Islam menduduki tempat kedua terbesar di dunia dalam masa lebih 1,400 tahun meninggalkan agama-agama yang lebih lama. Kenapa? Apakah Islam boleh berkembang dengan cepat dalam jangka masa yang singkat jika sifatnya ganas dan ekstrem?

Islam telah memerintah di India hampir 1,000 tahun. Apakah Islam boleh bertahan lama di sana, jika mengambil sikap memusuhi, menganiayai dan menzalimi orang India bukan Islam.

Percayalah saudaraku, agama Islam adalah agama yang membawa keadilan. Jika ada yang merasa tidak adil, bukan salah Islam, tetapi salah orang Islam yang telah tersasar daripada landasan Islam.

Yakinlah MIC, dengan adanya kerjasama MIC (UMNO/PAS), pastinya markas-markas atau bilik gerakan MIC (MCA) akan hidup, sehidup-hidupnya ketika PRU15 nanti.

Selama ini, PRU sebelumnya, markas dan bilik gerakan UMNO (MCA MIC) hidup, disebabkan oleh duit. Jika tidak, sunyi sepi. Ada wang semua jalan, tak ada boleh jalan.

PAS, walaupun tidak menang, markas dan bilik gerakan mereka terang-benderang. Saya bukan terlalu memuji PAS.

Pujian ini bukan baharu tetapi sudah lama. Ini dibuktikan oleh pujian-pujian pemimpin-pemimpin UMNO kebelakangan ini, bahawa mereka perlu belajar daripada PAS, yang boleh bertahan selama lebih 60 tahun sebagai pembangkang. Begitu kesetiaan dan walak ahli dan pemimpin PAS yang tidak berbelah bahagi. Sanggup berhujan dan berpanas, namun menyerah tidak sama sekali.

Pemimpin-pemimpin PAS jarang yang melompat parti, kecuali pembersihan yang telah dibuat sebelum ini dengan wujudnya serpihan PAS iaitu PAN.

Kini, PAS sudah bersih daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan parti iaitu musuh dalam selimut.

Orang PAS sudah dibiasakan hidup ‘susah’. Matlamat hidup mereka adalah mencari reda Allah atau mardhatillah. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam, meskipun bekerjasama dengan bukan Islam. Sama ada benar atau tidak, berjaya atau tidak, itulah kejayaan PAS selama ini dan begitu juga dalam proses mentarbiyah ahli-ahlinya.

Cuma, satu ingatan saya kepada PAS, kurangkan bercakap pasal matlamat menubuhkan negara Islam, syariat Islam, hudud dan sebagainya.

Tonjolkan atau laksanakan keadilan Islam terlebih dahulu supaya dapat dilihat. Selepas itu, setelah mendapat kepercayaan, yakinlah bahawa tidak sukar untuk meyakinkan bukan Islam tentang kebaikan hukum dan syariat Islam.

Untuk makluman bukan Islam sama ada India, Cina mahupun Bumiputera Sabah dan Sarawak, sekadar tidak mahu bersalam antara lelaki dan perempuan, itu bukan ekstrem atau radikal, itulah hikmah.

Lihatlah kembali tradisi beragama dan adat budaya Cina dan India, mana ada salam-salam antara lelaki dan perempuan secara bebas.

Melihat kembali budaya Cina dan India, rata-rata meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Begitu juga budaya menghormati ibu bapa dan suami isteri. Tunduk hormat sehingga ke kaki.

Salam lelaki perempuan tanpa batas ini adalah budaya Barat.

Begitu juga budaya berjubah dan berserban serta berkopiah, tidak ada kaitan langsung dengan ekstremis. Jika orang Cina dan India boleh berpakaian Samfu, Kurta dan Sari, kenapa orang Islam tidak diberi pilihan untuk berpakaian mengikut kesukaan dan kepercayaannya.

Yang paling penting pakaian tradisi ini semua bersopan santun dan menepati kehendak agama, berbanding dengan yang berpakaian terbuka sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat. Budaya bangsa apakah ini, India bukan, Cina bukan, Islam jauh sekali. Ini semua adalah serangan budaya barat.

Justeru, dalam menilai seseorang, jangan lihat kepada pakaian, yang penting bersopan dan menepati kehendak agama. Begitu juga perlakuan, bersalaman, tidak bergaul bebas.

Akhirnya, PRU15, yang akan mendatangi kita tidak lama lagi, pasti akan mencipta satu lagi sejarah dan rekod. Satu lagi bentuk budaya politik baharu Malaysia akan tercipta, memperlihatkan kerjasama politik antara agama dan kaum dalam membawa Malaysia ke arah kecemerlangan. Saya doakan moga ia berjaya.


No comments: