Pakar fizik akan dipanggil bantu mahkamah dalam prosiding inkues
SHAH ALAM– Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom
Abd Wahid hari ini memberitahu Mahkamah Koroner, beliau tidak bersetuju
dengan laporan Hospital Kuala Lumpur (HKL), bahawa tiada kesan lebam di
bahagian belakang badan Muhammad Adib Mohd Kassim.
Dr Shahrom yang juga saksi ke-29 itu
berkata, lebam itu tidak ditemui, berikutan bedah siasat ke atas
Muhammad Adib yang juga anggota bomba bagi mengetahui punca kematiannya,
tidak dilakukan secara menyeluruh.
“Bedah siasatan bukan sekadar
potong-potong sahaja tetapi ia adalah pemeriksaan secara menyeluruh bagi
mengetahui punca kematian seseorang. Mereka (HKL) mengatakan melakukan
bedah siasatan, tetapi sebenarnya tidak.
“Mereka tidak melakukan pemeriksaan
antaranya di bawah bahagian lapisan kulit yang mana sekiranya dilakukan
akan menemukan kesan lebam. Ini apa mereka katakan tidak ada, bagaimana
hendak ada, kalau tidak diperiksa,” katanya di hadapan Koroner Rofiah
Mohamad pada hari ke-39 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di sini,
hari ini.
Dr Shahrom berkata, siasatan kejadian
insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya
pada 27 November tahun lepas yang menyebabkan kecederaan parah pada
Muhammad Adib, seharusnya dilakukan lebih awal, oleh pegawai penyiasat
dan pihak forensik.
Beliau berkata, siasatan itu juga harus
dimulakan di tempat kejadian selepas Muhammad Adib diserang, untuk
mengetahui pihak yang bertanggungjawab melakukannya.
“Tiada video penuh kejadian. Oleh demikian, pencarian perlu bermula daripada berlakunya kejadian bukannya daripada bedah siasat.
“Malah, dalam forensik terdapat dua
(bahagian) iaitu klinikal forensik (ketika hidup) dan patologi forensik
(meninggal dunia). Sekiranya sudah meninggal dunia, kedua-dua
pemeriksaan perlu bergabung untuk mencari punca kematiannya,” katanya.
Dalam keterangan hari ini, Dr Shahrom
yang juga bekas Pakar Perunding Kanan dan Patologi Hospital Canselor
Tuanku Muhriz, menyifatkan semua bukti yang dikemukakan kepada mahkamah
untuk prosiding inkues kematian Muhammad Adib itu adalah mencukupi,
tetapi bukan untuk mengaitkan dengan kes jenayah.
“Saya kata benda ini (bukti) cukup jika
menggabungkan laporan dikeluarkan Jabatan Forensik HKL bersama
eksperimen yang dilakukannya, sekiranya mahu membawa untuk buktikan kes
jenayah, ia tidak cukup,” katanya.
Dalam pada itu, Rofiah memaklumkan
pihaknya akan menentukan seorang pakar fizik untuk membantu mahkamah
dalam prosiding inkues itu.
Rofiah berkata, pihak berkepentingan
telah menyerahkan dua nama pakar fizik dan pihaknya sedang meneliti
latar belakang individu terbabit, sebelum memanggil seorang daripada
mereka ke mahkamah.
“Saya mohon supaya pakar fizik yang akan
dipilih nanti diterangkan berhubung formula dikemukakan saksi ke-24, Dr
Ahmad Hafizam Hasmi dan saksi pakar fizik ke-29, Dr Shahrom (dalam
mengenal pasti punca kecederaan dan kematian Muhammad Adib),” katanya.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit
Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang
Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak itu sebelum disahkan meninggal
dunia pada 17 Disember, ketika menerima rawatan di Institut Jantung
Negara. – Bernama
No comments:
Post a Comment