Friday, July 5, 2019

Pensyarah UKM dakwa diugut susulan komen A Kadir Jasin

ISMA WEB

Abdul Muein Abadi kesal universiti 'diarah' pantau pensyarah

BANGI – Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, hari ini mendakwa beliau diugut susulan artikel bertajuk ‘400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara’.

Beliau berkata, ugutan itu diterimanya daripada pihak tertentu selepas Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menuduh beliau menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan.

Katanya, sebagai penasihat media perdana menteri, Kadir sepatutnya menjawab persoalan yang diajukan pensyarah universiti awam dengan matang dan profesional, bukan mengeluarkan kenyataan di media sosial.

“Kurang manis apabila Penasihat Media Perdana Menteri ‘mengarahkan’ ‘Pihak UKM dan Kementerian Pendidikan tolong pantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik mereka’ di media sosial.

“Ini bukan sahaja kurang profesional dan kurang matang, tetapi juga bertentangan dengan prinsip kebebasan akademik yang dilaungkan pihak kerajaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.




Abdul Muein berkata, fakta dalam artikel beliau adalah berdasarkan laporan langsung daripada portal utama seperti The Edge Markets, Reuters, Astro Awani, Deal Street Asia, The Malaysian Reserve, dan pelbagai portal berita arus perdana dalam negara.

“Adakah tuan Penasihat Media Perdana Menteri menuduh kesemua portal ini ‘menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan’? Jika ya, maka silalah ambil tindakan ke atas kesemua portal ini,” katanya.

Beliau juga berharap Kadir tidak mengulangi tindakan seperti itu pada masa depan, sekali gus tidak menghalang pensyarah lain untuk terus terbabit memberi pandangan kritis ke atas dasar kerajaan demi kemajuan negara.

“Secara peribadi saya tiada dendam apatah lagi benci sama sekali terhadap Penasihat Media Perdana Menteri kita ini dan saya maafkan tuduhan beliau bahawa saya ‘menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan’.

“Namun, sebagai Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya tetap berpegang teguh dengan Falsafah UKM iaitu ‘”Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan universiti”.

“Maka insyaAllah saya akan terus memberi teguran dan pandangan kepada kerajaan, sesuai dengan tugas saya sebagai Pensyarah Sains Politik di UKM,” katanya.



No comments: